Pilihan EditorTurun Naik

Tragedi MH17 Duka Tiada Noktah Terpahat Kukuh Dalam Sejarah

Oleh Veena Rusli

Tragedi tidak pernah mudah untuk dilupakan dan setiap kali ulangan tahunnya, ingatan pasti diheret kepada detik dunia seakan terhenti seketika.

Hari ini genap sedekad kisah tragis pesawat Boeing MH17 milik Malaysia Airlines ditembak di ruang udara Ukraine sebelum terhempas di wilayah Donetsk, timur negara itu yang mengorbankan 298 nyawa.

Semestinya ia menghadirkan nestapa berganda buat Malaysia yang ketika itu masih memikirkan untung nasib pesawat MH370 yang hilang dari radar dalam penerbangan dari Kuala Lumpur-Beijing empat bulan sebelumnya.

Ingatan terhadap tragedi MH17 mempunyai sisi berbeza buat penulis, yang diarah ke Belanda lima hari selepas kejadian untuk membuat liputan susulan insiden itu.

Apa yang menunggu kekal melekat dalam memori, Jalur Gemilang dipasang separuh tiang, berkibar sayu dalam suasana sunyi sepi walaupun ratusan hadirin memenuhi segenap ruang dibenarkan.

Mungkin ketertiban proses itu yang menambah pilu. Setiap keranda diusung tertib ke kereta hitam yang menunggu hingga semua 40 keranda selamat ditempatkan ke dalam 40 kereta hitam, dibawa ke makmal tentera di Hilversum, 101 kilometer (km) jauhnya.

Bersama rakan petugas New Straits Times (NST) dan TV3, kami bergerak dari Eindhoven ke Hilversum, lokasi makmal tempat pengecaman mangsa diisytihar sebagai lokasi kejadian nahas, sekali gus menjadi zon larangan dimasuki kecuali petugas berkenaan.

Kami sekadar singgah di luar pagar utama. Tidak terhitung jambangan bunga tersusun rapi di pekarangan kawasan berhampiran, tanda ingatan buat mangsa. Pas media yang tergantung di leher menarik perhatian pasangan suami isteri warga emas yang asyik memerhatikan titipan pesanan di kad dan jambangan bunga.

“Maaf, anda kelihatan seperti wartawan. Dari mana?” tanya si isteri penuh sopan dalam bahasa Inggeris. Saya tersenyum mengiyakan sambil menjawab: “Kami dari Malaysia.”

Wajah wanita itu berubah. Perlahan-lahan beliau menghampiri dan kami bersalaman, lama tangan penulis digenggam.

“Terimalah salam simpati amat mendalam daripada kami buat rakyat Malaysia. Kita sama-sama berduka atas tragedi ini. Kami juga kehilangan saudara dan sahabat. Ketahuilah, kami tidak menyalahkan Malaysia,” katanya dengan wajah kemerahan dan air mata mula bergenang.

Pertemuan itu tidak lama, namun terkesan jauh di sanubari hingga saat ini. Di sebalik beban kesedihan, pemikiran rasional seperti diungkap wanita itu sedikit menenangkan dan menambah kepercayaan dendam tidak wajar menjadi pilihan.

Banyak yang berlaku sepanjang dua minggu berkelana di bumi Belanda – menghabiskan minggu terakhir Ramadan dan meraikan minggu pertama Syawal atas nama tugas.

Hari terakhir berpuasa, kami ke The Hague menjejaki Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Gani Patail, bagi mencerna proses perundangan membawa pelaku ke muka pengadilan.

Derita waris ditinggal tanpa pesan

Panjang nafas dihela mendengar soalan bertalu-talu kami dalam pertemuan di tepi pantai Scheveningen. Mengakui ia bukan tugas mudah dan prosesnya panjang, beliau menyatakan komitmen negara anggota Pasukan Siasatan Bersama (JIT) merangkumi Malaysia, Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine.

Dugaan bertugas tanpa aturan, menahan lapar dahaga berpuasa pada musim panas yang panjang dan melawan hambatan perbezaan masa dengan tanah air terlalu kecil untuk dibanding derita ditanggung mereka ditinggalkan tanpa pesan.

Pengalaman itu mahal harganya. Malam sama, kami berbuka puasa asam pedas di hotel penginapan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum Ketua Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Malaysia, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood, mengadakan sidang media pertamanya.

Lebih sejam beliau menghuraikan satu persatu proses pengecaman, menjawab deretan soalan terhadap pengalaman agak asing buat kami wartawan kerana belum pernah berdepan situasi serumit itu.

Detik sama juga, gema takbir 1 Syawal berkumandang dari ruang bersebelahan menyiarkan solat Aidilfitri secara langsung dari Masjid Negara.

Momen itu hadir perasaan bercampur baur yang sukar digambarkan. Teringat keluarga jauh di tanah air pastinya, namun ada kesayuan lebih besar daripada itu yang menepis segala rasa peribadi.

Menikmati juadah nasi Arab pada 1 Syawal di Kedutaan Malaysia di The Hague, perbualan banyak berkisar soal MH17 tentunya dan kemuraman yang masih menyelubungi segenap ceruk Belanda.

Tugasan yang sepatutnya berakhir pada hari terakhir Ramadan dilanjutkan seminggu lagi kerana Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, bakal mengunjungi rakan sejawatannya, Mark Rutte, Perdana Menteri Belanda.

Perkembangan terkait siasatan punca tragedi MH17 tahun berikutnya adalah sejarah sarat dengan pelbagai soalan. Apa yang berlaku sudah berlaku. Dari sudut kemanusiaan, sebahagian besar jika pun bukan semua waris mangsa, perlahan-lahan mengumpul kekuatan untuk meneruskan kehidupan tanpa pernah mengisi kekosongan ditinggalkan.

Begitulah kitarannya. Liputan MH17 di Belanda bukan tugasan merentas benua pertama atau terakhir bagi penulis, namun kesannya amat jauh berbeza berbanding lainnya.

Liputan tragedi MH17 membawa bersama pengalaman bukan sedikit. Mungkin pengajaran terbesar dikutip ialah untuk menceraikan emosi demi tugasan dan memberi masa secukupnya untuk kembali melayan perasaan.

Tulisan ini juga wajar memetik dan menghargai pengorbanan dua rakan seperjuangan yang turut ditugaskan bagi liputan MH17.

Allahyarham Hardi Effendi Yaacob berada di Ground Zero di Donetsk bagi liputan segera tragedi dan ditahan hampir sejam oleh tentera pemisah untuk soal siasat kerana melanggar perintah berkurung susulan peperangan dengan tentera Ukraine.

Allahyarham Mohd Hamizar Hamid dihantar ke Amsterdam pada Ogos 2014 bagi liputan urusan penyempurnaan jenazah yang diuruskan pegawai JAKIM sebelum dibawa pulang ke tanah air.

Hanya doa dikirim sebagai tanda ingatan berpanjangan buat mereka yang terkorban dan sahabat yang tidak lagi bersama.

Berapa lama sekalipun adanya, semoga tiada yang melupakan.

  • Penulis adalah Pengarang Berita BH

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close