MalaysiaPilihan Editor

Syarikat P-Hailing Wajar Dapatkan ISO 39001

Semua syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing wajar mendapatkan pensijilan ISO 39001, iaitu piawaian antarabangsa berhubung pengurusan keselamatan jalan raya.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata langkah itu bagi membuktikan komitmen mereka dalam mengutamakan keselamatan pekerja penghantaran dan bukan hanya mementingkan keuntungan perniagaan semata-mata.

“Semua syarikat yang terbabit dalam p-hailing atau e-hailing ini harus melaksanakan pensijilan ISO 39001 kerana ia merangkumi satu aspek penting berkaitan kesedaran dan latihan berterusan kepada pemandu atau penunggang di bawah syarikat mereka.

“Menjadi tanggungjawab utama majikan untuk mengubah sikap supaya keselamatan pekerja mereka menjadi keutamaan.

“Kita tidak mahu majikan hanya melaung-laungkan slogan kononnya mereka menjaga keselamatan penunggang, menyokong kempen keselamatan jalan raya sebaliknya buktikan mereka komited kepada pengurusan keselamatan jalan raya,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan akhbar ini yang melaporkan dua pertiga atau 1,684 daripada 2,576 kes kematian membabitkan penunggang motosikal dalam tempoh sembilan bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu membabitkan golongan penghantar barang dan makanan atau p-hailing.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata jumlah itu adalah daripada keseluruhan 7,525 kes kematian jalan raya yang direkodkan dalam statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, selain majikan, pelanggan dan penunggang juga perlu mengubah sikap mereka dan sama-sama membantu dalam usaha mengurangkan statistik kemalangan.

“Pelanggan kalau boleh jangan terlalu mendesak, mahu makanan segera sampai, menambah tekanan kepada penghantar, kadang-kadang lambat itu lebih baik daripada makanan tidak sampai langsung kerana sesuatu hal terjadi kepada penunggang.

“Bagi penunggang, perlu sentiasa letakkan dalam fikiran untuk utamakan keselamatan melebihi perkara lain, kalau letih berehat,” katanya.

Piawaian ISO 39001 menetapkan keperluan untuk sistem pengurusan keselamatan jalan raya bagi mengurangkan kejadian dan risiko kecederaan serius berkaitan dengan kemalangan jalan raya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close