MalaysiaPilihan Editor

Syarikat Jangan ‘Tekan’ Penunggang p-Hailing

Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia menggesa syarikat penyedia perkhidmatan untuk lebih bertimbang rasa dan tidak menekan penunggang mereka untuk mencapai kualiti ditetapkan syarikat sehingga soal keselamatan terabai.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani, berkata campur tangan kerajaan diperlukan bagi memahami situasi dan menyelesaikan permasalahan sebenar dihadapi penunggang p-hailing terutama berkaitan sistem bekerja, prosedur operasi standard (SOP) syarikat dan kadar upah yang diberikan.

“Banyak isu berbangkit sebenarnya kerana tiada undang-undang jelas bagi melindungi hak penunggang p-hailing. Contoh kadar upah bayaran yang semakin lama semakin teruk, isu peta (mapping) yang mana jarak dalam aplikasi tidak sama dengan jarak dalam Google Map atau Waze yang membuatkan penunggang tanggung kerugian.

“Begitu juga dengan SOP syarikat yang mahu penghantaran diselesaikan dalam sekian masa, kalau gagal atau rating rendah diberikan pelanggan ia akan menjejaskan penilaian kadar gaji upah penunggang p-hailing.

“Jadi isu-isu seperti ini membuatkan penunggang terbeban, sedangkan syarikat hanya fikirkan rating dan keuntungan tapi soal keselamatan penunggang seperti melepas batok di tangga,” katanya kepada BH hari ini.

Beliau mengulas sama ada sikap penunggang yang terlalu mengejar trip penghantaran sehingga mengabaikan keselamatan menjadi faktor menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan penunggang p-hailing.

Berdasarkan laporan, dua pertiga atau 1,684 daripada 2,576 kes kematian membabitkan penunggang motosikal dalam tempoh sembilan bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada tahun lalu membabitkan golongan penghantar barang dan makanan atau p-hailing.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata jumlah itu adalah daripada keseluruhan 7,525 kes kematian jalan raya yang direkodkan dalam statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, sebelum ini perbincangan sudah dilakukan pihaknya bersama syarikat penyedia perkhidmatan bagi mencapai penyelesaian isu berbangkit, namun cadangan diutarakan tidak diambil perhatian.

“Sebab itu kami gesa campur tangan kerajaan untuk melihat perkara ini dan memahami situasi sebenar dihadapi pekerja penghantaran.

“Kami sentiasa menyokong apa sahaja usaha kerajaan termasuk menerusi kempen keselamatan jalan raya bagi memupuk kepentingan menjaga keselamatan, namun pada masa sama kami juga mahu pihak majikan lebih bertanggungjawab dan tidak meletakkan kesalahan kepada penunggang semata-mata.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam membantu mengurangkan kemalangan jalan raya, menyalahkan penunggang semata-mata atas kemalangan jalan raya adalah tidak adil tanpa memahami mengapa mereka sanggup melanggar peraturan jalan raya demi untuk mencari rezeki halal buat keluarga,” katanya.

Sementara itu beliau juga menggesa penunggang untuk membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai perlindungan.

“Tahap kesedaran untuk mencarum masih rendah, saya rasa tidak sampai 10 peratus daripada jumlah penunggang p-hailing di negara yang mencarum, jadi ubah pemikiran kerana ia perlindungan untuk kita sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close