Singapura dijangka membuka semula keseluruhan ekonominya pada akhir bulan ini selepas mula melonggarkan kawalan pergerakan ke atas operasi perniagaan dan rakyat, kata menteri kanannya.
Menteri Pembangunan Negara Singapura, Lawrence Wong, berkata dengan permulaan fasa kedua, kerajaan menjangkakan hampir keseluruhan ekonomi akan dibuka semula.
Singapura sudah dua minggu memasuki langkah pelonggaran pertama daripada tiga fasa yang dilaksanakan pada awal April.
Republik itu menerima pujian dari pakar kesihatan antarabangsa atas tindak balas segera terhadap pandemik itu ketika ianya mula merebak di negara itu.
Namun, Singapura kembali mencatatkan peningkatan kes positif daripada pekerja asing yang tinggal di asrama, menyaksikannya menjadi salah satu negara yang paling banyak dijangkiti di Asia, dengan hampir 40,000 kes.
Wong, yang juga pengerusi bersama pasukan petugas khas Singapura dalam memerangi pandemik itu berkata, negaranya berjaya mengawal jangkitan melalui pemeriksaan agresif serta langkah-langkah ketat yang diperkenalkan.
Beliau berkata, dengan kemudahan penjagaan kesihatan dan pengasingan diri, ada lebih banyak ruang untuk membolehkan pemegang pas kerja jangka panjang kembali ke negara itu.
Ramai ekspatriat yang juga pemegang pas pekerjaan tidak dapat memasuki negara itu disebabkan sekatan sempadan.
Hingga akhir Disember 2019, Singapura mempunyai lebih daripada 190,000 pemegang pas kerja, yang terdiri daripada profesional, pengurus dan eksekutif asing yang memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya S$3,900 (RM11,800) sebulan.
Wong berkata, walaupun ekonomi akan bermula semula dengan sekolah dan lebih banyak tempat kerja dibuka secara beransur-ansur, rakyat juga harus bersiap sedia untuk perubahan besar dalam norma sosial.
Sementara itu, kerajaan juga katanya masih memerlukan masa untuk membenarkan kembali kedatangan pelancong.
Di bawah fasa kedua pembukaan semula, lebih banyak perniagaan seperti kedai runcit dan gimnasium dijangka beroperasi semula.
Langkah penutupan di Singapura dan seluruh dunia telah memberi tekanan besar kepada ekonomi yang bergantung pada perdagangan.
Kerajaan kini mengunjurkan penurunan ekonomi sepanjang tahun sehingga tujuh peratus, yang menandakan kemerosotan terburuk negara itu sejak kemerdekaannya.
Singapura sudah mengumumkan empat pakej rangsangan yang berasingan berjumlah S$92.9 bilion (RM284.5 bilion), atau 19.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pakej rangsangan itu meliputi bantuan kepada isi rumah dan syarikat yang merangkumi pembayaran tunai, subsidi gaji, potongan harga sewa dan pengecualian cukai. -BLOOMBERG