MalaysiaPilihan Editor

Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, Antara Tiga Ahli Dewan Negara Angkat Sumpah

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Tiga Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim pada Isnin (30 Ogos 2021).

Mereka ialah Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Datuk Razali Idris, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Md Nasir Hashim.

Ia merupakan lantikan semula penggal kedua oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Lantikan Lian Ker berkuat kuasa mulai 10 Ogos lepas hingga 9 Ogos 2024, manakala Razali dan Md Nasir mulai 27 Ogos lepas hingga 26 Ogos 2024.

Kesemua mereka mengangkat sumpah sebagai senator pada majlis yang berlangsung dalam keadaan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Sementara itu, Razali yang juga pernah menjadi Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara ketika ditemui mengucapkan syukur dan merakamkan terima kasih ke atas kepercayaan dan mandat yang telah diberikan oleh mantan Perdana Menteri Ke-8, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin serta keyakinan yang diberikan oleh Perdana Menteri Ke-9, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Di samping itu, sembah syukur kepada Tuanku Agong yang berkenan meluluskan pelantikan saya sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua pada hari ini, 30 Ogos 2021 menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64 tahun.

“Sesungguhnya pelantikan ini merupakan suatu penghormatan dan amanah besar kepada saya untuk memberi sumbangan dan bakti kepada institusi dewan perundangan tertinggi negara iaitu Dewan Negara yang bertanggungjawab untuk membina pemikiran-pemikiran aras tinggi yang boleh membantu kepada agenda, polisi dan pembuat dasar negara pada masa ini serta memberi manfaat kepada generasi masa hadapan negara.

“Sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua, saya berasakan amat bertuah kerana dapat berkhidmat dan menyumbangkan idea serta tenaga di bawah tiga Perdana Menteri dalam pentadbiran tiga kerajaan, iaitu di era Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ini saya kira agak luar biasa kerana pengalaman sebegini sangat unik yang mana kita dapat belajar dan melihat bagaimana corak kepimpinan pentadbiran kerajaan yang berbeza-beza membuka satu dimensi yang baharu,” katanya.

Razali turut menegaskan tugasnya sekarang semakin mencabar dan adalah menjadi visi beliau sebagai Ahli Dewan Negara di bawah kepimpinan seorang Perdana Menteri yang baharu ini untuk menjadi seorang penggubal undang-undang yang benar-benar memberi kecemerlangan kepada rakyat dan negara.

“Sewajarnya terus diperkukuhkan bagi menerajui atau menjuarai isu-isu negara berkaitan pemulihan ekonomi negara, kesejahteraan kesihatan dan kesejahteraan rakyat negara ini,” kata Razali lagi. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close