Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan kedatangan 2.5 juta pelancong ke pulau peranginan itu sehingga akhir tahun ini menerusi kempen ‘Langkawi Great Sale’ (LGS).
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Dr Hezri Adnan, berkata inisiatif yang diusahakan melalui penghasilan Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (Helang) itu adalah julung kali diadakan dengan kerjasama daripada penggiat industri pelancongan tempatan.
“Sekiranya jumlah ini dapat dikekalkan atau meningkat sehingga 200,000 tidak mustahil usaha untuk mencapai sasaran 2.5 juta pelancong ke Pulau Langkawi dapat dicapai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen berkenaan, di sini.
Hezri berkata, pada 2019 Langkawi menerima kedatangan 3.92 juta pelancong tempatan dan juga antarabangsa.
Kempen promosi LGS yang bermula 1 September hingga 31 Disember 2020 itu akan membabitkan semua peserta industri pelancongan Langkawi yang terdiri daripada pengusaha produk pelancongan, pengusaha hotel, ejen pelancongan, pemandu pelancong serta pengusaha kedai bebas cukai.
Beliau berharap strategi dan inisiatif yang dilaksanakan ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak sebagai langkah untuk memulihkan ekonomi setempat dan menjadikan Langkawi lebih kukuh serta berdaya tahan dalam mengharungi fasa pemulihan ekonomi pasca PKP.
Menurutnya, sebanyak empat pakej utama akan ditawarkan dalam kempen LGS itu dengan potongan harga istimewa kepada pelancong domestik iaitu pakej bulan madu, pakej keluarga, pakej kumpulan untuk tujuan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dan pakej kumpulan untuk tujuan bersantai.
“Pakej yang ditawarkan ini merangkumi penginapan, kenderaan, lawatan ke produk pelancongan serta pemberian baucar pembelian produk pelancongan terpilih,” kata Hezri.– BERNAMA