MalaysiaPilihan Editor

5 Tonggak Utama Tentukan Hala Tuju AI Negara – PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan lima tonggak utama bagi menggerak dan menentukan hala tuju teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

Melalui Rangka Kerja Negara AI yang akan menetukan hala tuju merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah Negara AI, Perdana Menteri berkata, lima tonggak utama itu ialah dasar berpandangan jauh; tenaga kerja tangkas dan celik digital serta infrastruktur digital yang selamat dan boleh dipercayai.

Lima tonggak berkenaan, katanya, akan menggerakkan Ekonomi MADANI yang menekankan aspek keterangkuman, kebolehpercayaan dan kesediaan AI bagi kegunaan sebenar serta membawa kemajuan teknologi yang bersifat inklusif dan berdaya saing.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia, di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Anwar turut menegaskan, jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar, termasuk dalam kalangan pelajar institusi agama tradisional adalah cabaran utama yang perlu ditangani negara bagi memastikan transformasi digital memberi manfaat kepada semua rakyat.

Jika tidak diatasi, katanya, jurang itu akan mewujudkan perbezaan besar antara mereka yang menguasai disiplin baharu dan mereka yang langsung tidak mengetahuinya, sekali gus tidak mampu meningkatkan taraf hidup atau kekal relevan.

“Mereka akan menjadi tidak mampu untuk mencabar secara berkesan demi meningkatkan taraf hidup rakyat. Cabaran masa kini berbeza, iaitu bagaimana memastikan masyarakat yang tidak terdedah kepada teknologi, tidak terus ketinggalan.

“Isu ini bukan sahaja membabitkan jurang antara yang kaya dan miskin, tetapi juga dalam sesebuah negara itu sendiri, termasuk antara kelompok yang mahir teknologi dan mereka yang langsung tidak mempunyai akses,” katanya.

Mengenai ASEAN, Anwar berkata, dengan lebih 700 juta penduduk, ekonomi digital yang berkembang pesat serta kepelbagaian budaya dan bahasa yang luar biasa, rantau ini berada pada kedudukan unik untuk membentuk AI dengan cara yang inklusif, beretika dan selaras dengan nilai-nilai bersama.

Tambahnya, jika rantau ini mendepani detik berkenaan dengan pandangan jauh dan keberanian, AI mampu merapatkan jurang pembangunan, memperkasa perusahaan kecil, memajukan komuniti luar bandar, mengukuhkan perkhidmatan awam serta memperluas akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan keadilan untuk semua.

“Oleh itu, kita mesti berani dan berprinsip. Visi kita mestilah memanfaatkan AI bukan sekadar untuk mengejar negara lain, tetapi untuk memimpin dengan menawarkan model inovasi yang berlandaskan kepercayaan, berpaksikan kesaksamaan dan dibentuk dengan bangga oleh nilai-nilai Asia Tenggara.

“Dengan cara ini, kita akan memastikan ukuran sebenar kejayaan AI bukan terletak pada kecanggihan teknologinya, tetapi pada keupayaannya untuk benar-benar meningkatkan taraf hidup rakyat kita secara mampan, inklusif dan adil,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close