Pengurangan tarif eksport Amerika Syarikat (AS) kepada 19 peratus daripada 25 peratus dijangka memberi rangsangan tepat pada masanya kepada pengeluar berorientasikan eksport di Malaysia.
Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) dalam satu nota penyelidikan berkata, perkembangan positif ini dijangka meningkatkan keyakinan perniagaan dan memperkukuh daya saing global.
“Apabila keadaan luaran semakin stabil, sektor ini berada dalam kedudukan untuk mengalami pemulihan secara beransur-ansur menjelang akhir tahun, disokong oleh kitaran peningkatan teknologi global, permintaan yang meningkat terhadap infrastruktur generasi kelima (5G), pelaksanaan kecerdasan buatan serta gelombang pelancaran produk baharu,” katanya.
Kenanga IB mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 4.3 peratus bagi 2025, menurun daripada 5.1 peratus pada 2024 susulan kitaran teknologi, tarif dan rangsangan pemindahan tunai.
Dalam perkembangan lain, MBSB Investment Bank Bhd berkata, Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Pembuatan S&P Global Malaysia meningkat kepada 49.7 pada Julai 2025, mencatatkan paras tertinggi sejak Februari, 2025 yang menunjukkan kadar penguncupan yang lebih perlahan dalam sektor pembuatan Malaysia, sekali gus menandakan peralihan secara beransur-ansur ke arah penstabilan.
“Pesanan baharu menyusut pada kadar paling perlahan dalam tempoh lima bulan manakala penyederhanaan pengeluaran merupakan yang paling lemah sejak Februari 2025.
“Namun begitu, permintaan domestik yang lemah masih berterusan serta terus menjadi faktor yang menekan tahap pengeluaran,” katanya.
MBSB IB turut berkata, terdapat peningkatan dalam permintaan luar negara buat pertama kali dalam tempoh lapan bulan yang memberikan sokongan untuk meningkatkan permintaan keseluruhan.
“Aktiviti pembelian meningkat buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun dan mencatatkan perkembangan paling kukuh sejak April 2022.
“Menariknya, pekerjaan berkurang sedikit di tengah-tengah penurunan berterusan dalam baki kerja tertunda dengan kadar penurunan yang terpantas sejak Februari 2025,” katanya. – BERNAMA




