Pilihan EditorTwo Cents

PANDANGAN: Ancaman Tarif 100 Peratus AS Bayangi Sektor Cip Negara – Penganalisis

Oleh Kamarulzaidi Kamis

Sektor semikonduktor Malaysia, yang menjadi enjin utama eksport dan hab pembuatan berteknologi tinggi negara, kini berdepan dengan kebimbangan baharu berikutan ancaman dasar perdagangan dari Amerika Syarikat (AS) yang berisiko mengganggu kestabilan rantaian bekalan global.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan sedang mengkaji untuk mengenakan tarif yang sangat tinggi, yang boleh mencecah sehingga 100 peratus, ke atas semua cip semikonduktor yang diimport ke negara itu.

Cadangan langkah drastik ini adalah susulan siasatan keselamatan negara yang sedang dijalankan oleh Jabatan Perdagangan AS untuk menilai potensi risiko yang mungkin dibawa oleh lambakan cip import terhadap keselamatan negara kuasa besar itu.

Penganalisis dari bahagian penyelidikan TA Securities memberi amaran bahawa tindakan sedemikian, sekiranya dilaksanakan, boleh mencetuskan gangguan yang signifikan terhadap industri cip dunia yang bersifat sangat bersepadu dan global.

Pengenaan tarif yang tinggi sudah pasti akan menyebabkan kos pengeluaran melambung naik secara mendadak.

Walau bagaimanapun, Presiden Trump turut dilaporkan menyatakan bahawa pengecualian daripada tarif yang tinggi itu berkemungkinan akan diberikan kepada syarikat-syarikat yang telah memberi komitmen untuk membina dan pengendalian kilang pembuatan mereka di bumi Amerika Syarikat.

Pihak penganalisis percaya lebih banyak pengecualian bersyarat akan diumumkan dari semasa ke semasa, memandangkan betapa rumit dan saling bergantungnya rantaian bekalan semikonduktor global yang telah terbina sejak berdekad lamanya.

Adalah amat sukar untuk AS memindahkan semula keseluruhan rantaian nilai itu dalam masa terdekat.

Ironinya, di sebalik ancaman ini, prestasi semasa sektor semikonduktor global sebenarnya terus menunjukkan momentum yang amat positif.

Data terkini menunjukkan jualan cip dunia pada Jun 2025 mencecah AS$59.9 bilion, menandakan pertumbuhan tahun-ke-tahun untuk bulan ke-20 berturut-turut.

Pertumbuhan ini dipacu terutamanya oleh permintaan yang tidak putus-putus untuk aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

Rantau Asia Pasifik, di mana Malaysia merupakan peserta penting, mendahului pertumbuhan jualan dengan peningkatan sebanyak 34.2 peratus.

Dalam menghadapi ketidaktentuan global ini, Kerajaan Malaysia dijangka akan terus komited dalam melaksanakan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang bertujuan untuk terus memperkukuh kedudukan negara dalam rantaian nilai global.

Namun, disebabkan risiko dasar perdagangan AS, TA Securities mengekalkan pendirian ‘NEUTRAL’ terhadap sektor itu buat masa ini. – BH ONLINE

  • Penulis ialah pengarang meja ekonomi Berita Harian.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close