GovernansMalaysiaPilihan Editor

KSP RMK12: Potensi Ekonomi Wilayah, Negeri Diperkukuhkan Lagi

Potensi ekonomi wilayah dan negeri akan terus diperkukuh bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dalam bidang khusus dengan menggalakkan penerimagunaan teknologi termaju dalam aktiviti huluan dan hiliran.

Berikutan itu, menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada Isnin, agensi pembangunan wilayah pada peringkat Persekutuan dan negeri akan digalakkan untuk menyelaras keutamaan pembangunan dengan memanfaatkan keunikan dan sumber yang ada di setiap negeri.

“Di samping itu, penyediaan infrastruktur asas di negeri kurang membangun akan dipertingkat dan program pembangunan bakat akan dipergiat bagi memastikan peluang pembangunan yang saksama dan menambah baik keseimbangan wilayah,” katanya.

Menurut laporan itu, keutamaan akan diberi untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dalam subserantau dengan menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang lebih baik.

Selain itu, laporan itu menjelaskan, ekosistem perniagaan akan terus ditambah baik untuk mempermudah urusan menjalankan perniagaan dan menarik pelaburan berkualiti.

Program pembangunan bakat pula akan dipergiat untuk mengekalkan tenaga mahir bagi mengelakkan migrasi dan langkah ini akan menggalakkan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan wilayah yang lebih seimbang.

Agensi pembangunan wilayah pada peringkat Persekutuan dan negeri akan digalakkan untuk menyelaras keutamaan pembangunan dengan memanfaatkan kekuatan, keunikan dan ketersediaan sumber di setiap wilayah.

Usaha akan terus dilaksana untuk menggalakkan penggunaan teknologi termaju dalam aktiviti huluan dan hiliran, katanya.

Menurut laporan itu, pakej insentif juga akan ditambah baik bagi menarik pelaburan, khususnya di kawasan kurang membangun.

Selain itu, zon khas kewangan akan diwujudkan di Iskandar Malaysia bagi menarik pelabur asing dan pekerja berkemahiran untuk menetap di Malaysia, katanya.

Pihak berkuasa koridor akan terus memainkan peranan penting dalam mempercepat pelaburan di wilayah.

Berdasarkan wilayah pula, menjelang 2025, purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi wilayah utara disasarkan mencapai 6.0 peratus, tengah (5.6 peratus), selatan (5.4 peratus), timur (6.1 peratus), Sabah (4.3 peratus) dan Sarawak (5.1 peratus), kata laporan itu. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close