GovernansMalaysiaPilihan Editor

‘Bangunkan Wilayah Persekutuan Sebagai Bandar Raya Unggul’ – Agong

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah agar kerajaan melipatgandakan usaha dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan membangunkan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar raya unggul dan mampan.

Seri Paduka berharap bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan dapat diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan, termasuk meningkatkan peluang pekerjaan serta membantu mengurangkan kos sara hidup yang membelenggu golongan miskin bandar serta yang kurang berkemampuan.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa gusar berhubung banjir kilat yang sering melanda Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang menurut Seri Paduka, harus ditangani segera kerana kejadian itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepada rakyat, malah boleh menjejaskan kerancakan pertumbuhan ekonomi.

“Justeru, pembangunan hendaklah sentiasa seiringan dengan inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan di kawasan tinggi serta berbukit, termasuk di kawasan yang menjadi tadahan hujan haruslah turut dikawal selia,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya semua menteri, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta warga kota menjaga kota raya ini sebagai bandar raya yang benar-benar bersih dan cantik.

“Jadikan bandar raya Kuala Lumpur bertaraf bandar raya kelas pertama bukan kelas kedua atau ketiga dan saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah usaha ini termasuk pemberian bantuan kebajikan rakyat miskin dan terjejas pendapatan, usaha pembasmian miskin tegar bandar dan strategi penyediaan kediaman yang selesa untuk warga berpendapatan rendah.

“Beta juga amat bersyukur dengan komitmen kerajaan beta dalam menjaga kemaslahatan rakyat beta, khususnya dalam menangani isu-isu semasa yang secara tidak langsung merangsang pengukuhan sosio dan ekonomi rakyat beta.

“Pelbagai pembaharuan akan turut dilaksanakan dengan berpegang kepada prinsip menjaga kebajikan rakyat, mengeratkan perpaduan, meringan dan menaikkan taraf hidup rakyat beta di Wilayah Persekutuan,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka turut merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentukan kerajaan perpaduan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sukacita terhadap komitmen Anwar untuk menerapkan nilai-nilai integriti dalam kerajaan dan usaha segera untuk merungkai permasalahan ekonomi yang dihadapi rakyat. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close