Pertama Digital Bhd mengumumkan pelantikan Lim Nasrul Halim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa pada hari ini.
Beliau sebelum ini dinamakan sebagai bakal CEO pada 21 Januari 2025, yang menjadi sebahagian daripada pelan penggantian strategik kumpulan bagi memacu inovasi selain mengukuhkan kedudukan dalam sektor digital dan penyampaian nilai kepada rakyat negara ini.
“Beliau yang juga lulusan undang-undang University of London, membawa bersama pengalaman kepimpinan korporat melebihi 20 tahun. Nasrul memegang pelbagai peranan merentasi beberapa industri yang memaparkan rekod prestasinya dari segi kecemerlangan strategik dan pengoperasian.
“Pengalaman kerjayanya termasuk menerajui syarikat berkaitan kerajaan di Malaysia, menyumbang kepada Pusat Pembangunan Perusahaan di Singapura dan memacu pertumbuhan bagi syarikat-syarikat teknologi global dan jenama antarabangsa yang terkenal,” kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.
Menurut syarikat itu, antara kepakaran beliau adalah melaksanakan strategi berskala besar dan penyampaian pertumbuhan mampan yang hanya membuktikan keupayaannya dalam mengemudi pasaran rumit, memupuk inovasi dan mencapai hasil transformasi perniagaan. -BERNAMA




