GovernansMalaysiaPilihan Editor

Malaysia Boleh Tamatkan Perjanjian Timbal Balas Dengan AS Bila-bila Masa – Jabatan Peguam Negara

Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menurut kenyataan AGC, penamatan perjanjian itu boleh dilakukan tanpa memerlukan persetujuan AS, berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 7.5 ART, yang bertujuan mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa.

“Artikel 7.2 ART memperuntukkan bahawa perjanjian tersebut hanya akan berkuat kuasa 60 hari selepas kedua-dua pihak bertukar pemberitahuan bertulis yang mengesahkan bahawa tatacara perundangan domestik berkaitan telah selesai dilaksanakan.

“Pelaksanaan kewajipan dan komitmen di bawah perjanjian ini oleh Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang dan tatacara domestik Malaysia yang terpakai,” menurut AGC.

Menurut AGC, ART juga memperuntukkan rundingan dengan suci hati antara Malaysia dan AS berhubung isu pelaksanaan sebelum mana-mana pihak boleh mengambil tindakan terhadap pihak satu lagi.

Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.

Rundingan berkenaan diketuai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi pihak Malaysia, manakala AS diwakili Office of the United States Trade Representative.

MITI turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan dalam rundingan itu dan keputusan dasar berhubung ART telah dibuat oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira aspek ekonomi, politik dan perundangan. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close