Media Prima Bhd, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia terus kekal berdaya saing dengan mencatatkan hasil sebanyak RM844 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2024 walaupun berhadapan persekitaran ekonomi yang mencabar.
Kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) selepas penormalan sebanyak RM30.5 juta.
Keputusan ini adalah hasil daripada usaha kumpulan dalam meningkatkan kecekapan operasi, penerokaan pasaran perusahaan kecil sederhana (PKS) serta inisiatif pengurusan kos yang berkesan.
Kumpulan telah mencatatkan hasil sebanyak RM193.1 juta dan PAT selepas penormalan sebanyak RM2.6 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024.
Jenama TV3 dan Hot FM terus dominan sebagai stesen penyiar1 terunggul dalam kategori masing-masing.
Segmen penerbitan yang diterajui the New Straits Times Press pula mencatatkan keputusan yang menggalakkan, didorong oleh peningkatan dalam kecekapan operasi, percetakan dan pengedaran akhbar serta prestasi kukuh aliran pengiklanan.
Segmen ini telah mencatatkan hasil sebanyak RM120.7 juta dan PAT berjumlah RM22.9 juta bagi tahun kewangan 2024.
Sementara itu, segmen pengiklanan luar rumah kumpulan juga mencatatkan keputusan positif dengan hasil sebanyak RM121.4 juta pada tahun kewangan 2024.
Keputusan ini didorong oleh pelancaran strategik beberapa papan pengiklanan digital baharu oleh Big Tree selaras dengan strategi keseluruhan kumpulan untuk memperkenalkan inovasi dan penyesuaian kepada trend pasaran yang berkembang.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata Media Prima telah sekali lagi menunjukkan kemampuan daya saing sewaktu landskap ketidaktentuan ekonomi, ketegangan geopolitik, dan perubahan digital yang berterusan.
“Tumpuan strategik kami pada segmen pertumbuhan tinggi dan usaha pengoptimuman kos telah membolehkan kumpulan mencatatkan satu lagi keputusan tahunan positif.
“Walaupun kami menjangkakan cabaran-cabaran industri akan berterusan dalam tahun kewangan akan datang, kami tetap komited untuk memberikan nilai kepada pemegang saham dan audiens kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah bahawa Lembaga Pengarah Media Prima telah mengisytiharkan dividen satu peringkat pertama dan terakhir sebanyak 1.5 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, berkata: “Keupayaan kumpulan untuk berdaya saing di kala perubahan pesat landskap media jelas menunjukkan komitmen berterusan kami kepada audien serta pelanggan Media Prima. Ketidaktentuan ekonomi dan konflik di peringkat global telah memberi kesan besar terhadap perbelanjaan pengiklan utama.
“Langkah strategik yang telah diambil dalam memberi penumpuan terhadap segmen pasaran baharu, seperti menerokai segmen PKS, telah membantu mengurangkan kesan tersebut. Segmen ini telah mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 20 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.
“Dominasi kami yang berterusan dalam segmen penyiaran, pengiklanan luar rumah dan penerbitan juga membuktikan kekuatan jenama dan keberkesanan strategi kami.”

Komitmen Media Prima melangkaui kejayaan komersial dengan penekanan terhadap inisiatif tanggungjawab sosial korporat.
Lebih daripada RM2.9 juta dalam bentuk sumbangan awam telah membantu pembangunan komuniti tempatan dan program-program bantuan perubatan.
Selain itu, lebih daripada RM1.9 juta hasil sumbangan masyarakat kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, telah disalurkan dalam bentuk bantuan perubatan, makanan dan tempat perlindungan kepada mangsa kekejaman di Palestin dengan kerjasama organisasi bukan kerajaan yang berwibawa.
Di samping itu, Media Prima sedang memperkukuh strategi dekarbonisasi untuk mengenal pasti dan mengurus risiko perubahan iklim.
Pemahaman berasaskan data ini membantu mampu kumpulan dalam pembangunan pelan hala tuju pengurangan emisi secara komprehensif, mengukuhkan komitmen Media Prima terhadap matlamat kemapanan jangka panjang. – BH ONLINE