Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengenal pasti produk yang boleh dihasilkan semula oleh syarikat tempatan bagi mengurangkan kebergantungan import dari China yang menyumbang kepada defisit dagangan Malaysia sebanyak RM146 bilion pada 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata antara perkara yang akan diteliti punca syarikat tempatan yang sebelum ini mengeluarkan produk tertentu, tidak lagi mampu meneruskan pengeluaran sehingga produk berkenaan perlu diimport.
“Tumpuan kita di peringkat MITI akan analisis semua produk yang menyebabkan negara kita di defisit yang begitu besar dengan China.
“Jadi kita akan tengok, kalau dulu ada syarikat tempatan pernah membuat produk ini, kenapa sekarang dia tak boleh buat dan dia tutup sebahagian daripadanya.
“Kerana dalam jangka masa panjang bila syarikat tempatan yang biasa buat produk ini tutup kilangnya, akhirnya produk-produk yang dulu kita import murah pun akan menjadi mahal.
“Sebab itulah ia menyebabkan defisit berlaku dalam jumlah yang besar di antara kita dengan China,” katanya dalam pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai sejauh mana tumpuan eksport Malaysia kepada pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan China meningkatkan risiko kepada ekonomi negara sekiranya berlaku ketegangan perdagangan atau pengenaan tarif baharu.
Mengulas lanjut, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, berkata MITI turut mengadakan beberapa siri libat urus dengan syarikat tempatan bagi membincangkan langkah berkenaan meskipun terdapat syarikat yang tidak bersetuju.
Beliau berkata, tindakan perlu diambil bagi melindungi ekonomi negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar yang boleh menjejaskan ekonomi Malaysia.
Pada 2025, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan kira-kira RM100 bilion dengan AS, berbanding defisit RM146 bilion dengan China.
Dalam perkembangan berkaitan, Johari berkata, eksport sektor elektrikal dan elektronik (E&E) negara berjumlah RM712 bilion pada 2025 dengan import bagi menyokong pengeluaran sektor itu mencecah RM567 bilion.
“Kerajaan meningkatkan pembabitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam menghasilkan komponen serta bahan yang ketika ini diimport bagi menyokong aktiviti eksport negara,” katanya. – BH ONLINE/BERNAMA




