Seramai 8.6 peratus daripada pekerja formal di negara ini menerima upah bulanan RM10,000 dan ke atas pada September 2025, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata 8.8 peratus daripada jumlah pekerja formal warganegara menerima upah bulanan bawah RM1,700 pada September 2025, berkurang sebanyak 13.5 mata peratus berbanding September 2024.
Selain itu, katanya analisis persentil menunjukkan bahawa 10 peratus pekerja formal Malaysia terendah menerima upah bulanan sebanyak RM1,700 atau kurang setiap bulan, manakala pekerja formal dalam persentil ke-90 menerima sekurang-kurangnya RM9,000 setiap bulan.
“Perbezaan ini menunjukkan pekerja pada persentil ke-90 menerima lima kali ganda upah daripada kumpulan upah terendah, menggambarkan jurang upah antara mereka yang berpendapatan tertinggi dan terendah,” katanya dalam satu kenyataan.
Median upah bulanan pekerja formal RM2,864
Sementara itu, menurut DOSM median upah bulanan bagi 7.06 juta pekerja formal berjumlah RM2,864 pada September 2025, mencatatkan peningkatan 4.3 peratus tahun ke tahun berbanding RM2,745 setahun sebelumnya.
Peningkatan upah ini seiring dengan pertumbuhan guna tenaga yang stabil, apabila bilangan pekerja formal meningkat
sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun pada Julai, Ogos dan September 2025, sekali gus menunjukkan daya tahan berterusan pasaran buruh formal sepanjang suku tahun ketiga 2025.
Meneliti perbandingan mengikut jantina, pekerja formal lelaki meliputi 55.1 peratus atau 3.89 juta orang daripada jumlah keseluruhan pekerja formal pada September 2025, menerima median upah bulanan lebih tinggi berbanding pekerja formal perempuan.
Median upah bulanan pekerja wanita lebih rendah
Median upah bulanan pekerja formal lelaki direkodkan sebanyak RM2,900, manakala pekerja formal perempuan merangkumi 44.9 peratus atau 3.17 juta orang daripada jumlah pekerja formal menerima median upah bulanan sebanyak RM2,800.
Statistik upah mengikut kumpulan umur menunjukkan bahawa pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun terus merekodkan median upah bulanan tertinggi sepanjang suku tahun ketiga 2025.
Semua kumpulan umur mencatatkan peningkatan median upah bulanan secara konsisten tahun ke tahun.
Pertumbuhan tertinggi direkodkan dalam kalangan pekerja formal berumur bawah 20 tahun dengan median upah bulanan mencapai RM1,700 pada September 2025, meningkat 13.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Analisis upah mengikut aktiviti ekonomi menunjukkan bahawa semua sektor mencatatkan peningkatan median upah bulanan bagi ketiga-tiga bulan pada suku tahun ketiga 2025.
Sektor perlombongan, kuari catat median upah bulan tertinggi
Menurut DOSM, meskipun hanya menyumbang 0.6 peratus jumlah guna tenaga sektor formal, sektor perlombongan dan pengkuarian mengekalkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM6,600 pada September 2025 merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 11.9 peratus.
“Sementara itu, sektor pertanian yang menyumbang 1.8 peratus daripada pekerja formal warganegara merekodkan median upah bulanan terendah iaitu RM2,245,” katanya.
Kuala Lumpur merekodkan median upah bulanan tertinggi iaitu RM4,064, diikuti oleh Selangor pada RM3,127 dan Pulau Pinang pada RM2,927.
Sementara itu, median upah bulanan terendah direkodkan di Kelantan dan Perlis masing-masing mencatatkan RM1,800 serta Sabah dan Kedah iaitu RM2,000 pada tempoh yang sama. – BH ONLINE




