Perbelanjaan pengguna generasi muda terutamanya generasi Z (Gen Z) terus memacu daya tahan sektor peruncitan tempatan, di samping trend penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang kini dimanfaatkan oleh 74 peratus rakyat Malaysia untuk membeli-belah.
Dapatan terbaharu Laporan Runcit Malaysia Indeks Adyen 2026 berkata, sebanyak 77 peratus peruncit mencatatkan peningkatan hasil tahunan berbanding tahun lalu, dengan 17 peratus Gen Z mengakui berbelanja jauh lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Laporan itu turut mendedahkan sebanyak 37 peratus pengguna kini memanfaatkan pembantu AI sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi mencari inspirasi dan produk.
Meskipun pengaplikasian AI kian pesat, jurang kepercayaan kekal menjadi kekangan utama apabila 52 peratus rakyat Malaysia dilaporkan kurang selesa membenarkan AI menguruskan transaksi pembelian secara autonomi bagi pihak mereka berikutan faktor keselamatan dan ketelusan.
Pengurus Negara Adyen Malaysia, Lee Soon Yean berkata, peralihan daripada sekadar pembantu AI kepada perdagangan berasaskan ejen perdagangan memerlukan peruncit membina kepercayaan di sepanjang rantaian pengalaman pelanggan, terutamanya sewaktu proses pembayaran.
Katanya, kejayaan pelaksanaan AI dalam perniagaan peruncitan tidak bergantung kepada bilangan alatan AI yang dilanggan, sebaliknya berteraskan keupayaan memahami keperluan serta menyelesaikan masalah sebenar pelanggan.
“Langkah integrasi secara bertahap ini berupaya mempermudah proses, mengurangkan tugasan manual yang memakan masa dua hingga tiga hari kepada beberapa minit sahaja, sekali gus meningkatkan daya saing dalam pasaran,” katanya semasa taklimat media di sini, semalam.
Mengulas mengenai risiko perniagaan kecil atau perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ketinggalan dalam gelombang teknologi ini, beliau percaya golongan itu tidak akan terpinggir, sebaliknya bergantung kepada rakan kongsi atau penyedia platform digital.
“Situasi ini serupa dengan peralihan sistem e-invois dan sistem titik jualan (POS) digital yang mana peruncit serta pengusaha restoran melanggan alatan sedia ada di pasaran, seperti penggunaan pembantu AI dalam perkhidmatan mesej WhatsApp,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Rangkaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Datuk Liew Bin berkata, persaingan dari segi harga semata-mata tidak lagi mampan dalam pasaran tempatan yang semakin tepu.
“Peruncit perlu memanfaatkan teknologi bagi memenuhi peralihan permintaan ini, selain memberi tumpuan untuk membina kesetiaan jangka panjang dengan menawarkan pengalaman membeli-belah yang konsisten, cemerlang dan dipercayai,” katanya.
Laporan Adyen turut mendedahkan isu prestasi pembayaran dan penipuan kewangan memberi impak besar kepada perniagaan.
“Sebanyak 97 peratus peruncit melaporkan prestasi pembayaran mereka terjejas, manakala 94 peratus menjadi sasaran penipuan dengan purata kerugian mencecah RM707,000 bagi perniagaan terjejas.
“Bagi pengguna pula, isu ralat pembayaran memberi kesan negatif kepada persepsi perniagaan (59 peratus), manakala transaksi perdagangan sosial semakin menjadi pilihan utama dengan 86 peratus rakyat Malaysia pernah membeli-belah menerusi media sosial pada purata RM151 bagi setiap transaksi,” katanya.
Meskipun berdepan cabaran integrasi dan risiko keselamatan, sebanyak 47 peratus peruncit di Malaysia tetap merancang untuk melabur dalam penyelesaian perdagangan berasaskan AI atau ejen pintar menjelang akhir tahun 2026. – UTUSAN




