MalaysiaPilihan Editor

Kedudukan Malaysia Melonjak Dalam Indeks Prestasi Logistik

Malaysia naik 15 anak tangga ke kedudukan ke-26 dalam Indeks Prestasi Logistik (LPI) Bank Dunia 2023 dan berada di kedudukan kedua di belakang Singapura di rantau ASEAN.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata Malaysia berada pada kedudukan ke-41 pada edisi 2018, daripada kedudukan terbaik di tangga ke-25 pada 2014.

“Pada edisi 2016, Malaysia menduduki tempat ke-32,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Logistik Produktiviti Nexus (LPN), Datuk Seri Michael Tio berkata, jika Malaysia terus menjadikan Singapura sebagai penanda aras, negara kita akan dapat menempatkan diri dalam kedudukan 10 teratas LPI.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai infrastruktur yang komprehensif untuk industri logistik berkembang maju, di samping mempunyai perhubungan yang baik melalui jalan darat, laut dan udara.

Katanya, negara masih mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan untuk menjadi destinasi logistik pilihan di ASEAN.

“LPN yang didorong oleh industri dengan sokongan kerajaan akan terus menangani isu ini secara berstruktur,” katanya.

Bagi kedudukan LPI 2023, negara jiran lain ASEAN menyaksikan Thailand menduduki tempat ke-34, diikuti Filipina dan Vietnam (43), Indonesia (61) serta Laos dan Kemboja (115).

Menurut Abdul Latif, edisi terbaharu laporan itu merangkumi prestasi logistik perdagangan terkini 139 negara, dan berfungsi sebagai alat penanda aras untuk membantu negara mengenal pasti penambahbaikan dalam logistik perdagangan antarabangsa boleh dilaksanakan untuk meningkatkan daya saing.

Bagi Tio pula, edisi LPI 2023 terkini memperkenalkan set penunjuk prestasi utama baharu, yang diperoleh daripada pendekatan data raya yang mengukur kelajuan perdagangan di seluruh dunia.

“Penunjuk adalah berdasarkan kemajuan teknologi dalam menjejaki pergerakan antarabangsa frekuensi tinggi sebenar perkapalan maritim, kontena, pengangkutan udara, dan bungkusan pos melalui lorong perdagangan dan pintu masuk,” katanya.

LPI mengukur kemudahan untuk mewujudkan sambungan rantaian bekalan yang boleh dipercayai dan tepat pada masanya serta faktor struktur seperti kualiti perkhidmatan logistik, infrastruktur berkaitan perdagangan dan pengangkutan serta kawalan sempadan. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close