Kedai RuncitPilihan Editor

Kempen Beli Barangan Malaysia Rancakkan Ekonomi

Usaha kerajaan memperkasa Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun ini adalah bertepatan memandangkan ekonomi semasa yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Menurut beliau, langkah itu perlu bagi merangsang dan merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik, sekali gus meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kewujudan produk tempatan dan menggalakkan pembelian.

Pada masa sama, katanya, kempen itu juga dapat membantu pengusaha tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan perniagaan.

“Berdasarkan data terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sumbangan PKS kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah meningkat kepada 38.9 peratus pada 2019 berbanding 38.3 peratus yang dicatatkan pada 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian dan pelepasan Program Kembara Pengguna dan Peniaga KPDNHEP Selangor Tahun 2020 di Stesen Petronas Temasya, Lebuhraya Persekutuan, hari ini.

Hasnol Zam Zam berkata, produk tempatan berperanan besar terhadap ekonomi negara dan akan terus menyumbang kepada peningkatan peratusan KDNK selain membuktikan peranan PKS yang berupaya menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, pelbagai strategi diperkenalkan dalam usaha membawa produk PKS tempatan ke sektor peruncitan termasuk berganding bahu dengan syarikat peruncitan utama negara serta kerjasama daripada pasar raya, kedai serbaneka dan rangkaian kedai syarikat minyak.

Program Kembara Pengguna dan Peniaga KPDNHEP Selangor Tahun 2020 dirangka sebagai platform untuk mendapatkan maklumat asas tentang kesedaran kepenggunaan bagi pengguna dan peniaga terpilih di kawasan luar bandar.

Program empat hari sehingga 16 September itu turut mempromosikan dua kempen utama iaitu KBBM dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang juga inisiatif bagi merancakkan sektor peruncitan serta mengembalikan permintaan pasaran dalam negara.

Ia dilaksanakan secara jelajah berkumpulan (konvoi) dengan penglibatan 12 kenderaan pacuan empat roda dan 20 tempat kajian berjarak 591 kilometer keseluruhan ditetapkan bagi mendapatkan maklumat berkaitan tahap kesedaran pengguna dan peniaga di Selangor.

KPDNHEP Selangor juga mendapat kerjasama daripada Petronas Dagangan Bhd bagi mempromosikan PETRONAS sebagai jenama Malaysia. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close