Kebergantungan syarikat terhadap pekerja asing yang semakin kritikal perlu ditangani segera dengan mengehadkan pengambilan tenaga kerja dari luar negara kepada pekerjaan kategori berbahaya, sukar dan kotor (3D).
Sehubungan itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata syarikat perlu menghentikan kebergantungan berterusan terhadap pekerja asing sebaliknya memberi keutamaan kepada tenaga kerja tempatan, terutama bagi sektor yang tidak memerlukan kepakaran khusus.
Beliau berkata, negara menyasarkan komposisi tenaga kerja sebanyak 80 peratus pekerja tempatan dan 20 peratus pekerja asing, namun keadaan semasa menunjukkan situasi sebaliknya.
“Kebanyakan syarikat beroperasi di Malaysia begitu lama, 10 hingga 20 tahun, terbawa-bawa kebergantungan kepada pekerja asing. Ini adalah masalah yang sangat kritikal untuk kita uruskan.
“Sekarang, negara mempunyai 2.6 juta pekerja asing dan jika mengikut Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), memang kita sepatutnya menurunkan jumlah ini tetapi tidak turun.
“Tidak mudah untuk menyelesaikan isu ini tapi jika kita tidak menyelesaikan dasar ini, yang mana sudah ada 2.6 juta pekerja asing dan tidak termasuk lagi pekerja yang tidak sah, ia akan merosakkan negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini, berhubung kesediaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menetapkan atau memberi kelonggaran dasar pengambilan pekerja asing berdasarkan industri serta keperluan perusahaan berbeza.
Johari berkata, Malaysia mempunyai kira-kira 400,000 lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang perlu diberi keutamaan dalam pasaran pekerjaan tempatan.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat syarikat yang hanya mahu menawarkan gaji kepada golongan berkenaan pada kadar setara dengan pekerja asing.
“Jadi sebab itu, mana-mana industri yang datang kepada kementerian atau MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), kita akan beri penerangan.
“Jika nak pakai pekerja asing, boleh tapi dengan syarat, ia adalah hanya untuk pekerjaan 3D,” katanya.
Menjawab soalan asal Hong Pin mengenai perancangan kerajaan untuk memindahkan keluar industri pembuatan yang kurang berorientasikan teknologi tinggi, Johari berkata, MITI tidak akan melaksanakan pemindahan atau pengeluaran industri berkenaan secara melulu.
Sebaliknya, kerajaan memberi tumpuan kepada usaha mentransformasi dan menaik taraf industri sedia ada secara progresif menerusi penerapan teknologi, automasi dan pendigitalan, selaras dengan visi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Katanya, antara ciri aktiviti pembuatan menjadi sasaran transformasi itu termasuk kebergantungan tinggi terhadap tenaga buruh kasar dan proses manual, tahap produktiviti serta nilai tambah yang rendah, selain model operasi berintensifkan buruh berkemahiran rendah.
“Bagi menyokong usaha transformasi struktur industri secara progresif dan terancang, kerajaan menyediakan pelbagai bentuk sokongan seperti geran, dana serta insentif cukai untuk menggalakkan penerapan teknologi pintar dan automasi.
“Kerajaan juga menetapkan kriteria dan syarat pelesenan, iaitu pada masa akan datang, bagi permohonan lesen, kita akan pastikan pelaburan yang datang itu mesti bercirikan bukan kepada kebergantungan terhadap pekerja asing atau buruh kasar,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai pencapaian NIMP 2030 yang dilancarkan pada September 2023, Johari berkata, nilai tambah sektor pembuatan negara kini mencecah RM399 bilion berbanding sasaran RM587.5 bilion menjelang 2030.
Dari segi peluang pekerjaan, pencapaian semasa adalah 2.8 juta berbanding sasaran 3.3 juta, manakala gaji bulanan mencatatkan RM2,775 berbanding sasaran RM4,510.
Beliau berkata, sasaran pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan pula adalah kira-kira 6.5 peratus.
“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan (DOSM) dalam pelaporan maklumat baharu ini supaya kita boleh merancang dari segi strategi untuk keselamatan dan aktiviti ekonomi yang berada dalam negara, terutama dalam industri kecil sederhana (PKS) dan Bumiputera ini dapat direkodkan,” katanya. – BH ONLINE




