Trafik penumpang di rangkaian operasi tempatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat 5.2 peratus bulan ke bulan kepada 8.4 juta pada Ogos 2026, mencatat pertumbuhan bagi bulan kedua berturut-turut dan paras tertinggi sejak Mac.
MAHB berkata peningkatan itu disokong pertumbuhan trafik domestik dan antarabangsa, dengan trafik domestik kembali meningkat selepas susut pada Julai.
Trafik domestik naik 6.7 peratus kepada 3.7 juta penumpang, manakala trafik antarabangsa meneruskan momentum pertumbuhan dengan peningkatan 4.1 peratus kepada 4.7 juta penumpang.
“Ini menghasilkan prestasi trafik yang lebih seimbang berbanding bulan sebelumnya, apabila pertumbuhan didorong terutamanya oleh perjalanan antarabangsa,” menurut MAHB dalam kenyataan.
Bagi tempoh lapan bulan pertama 2026, rangkaian tempatan Malaysia Airports mengendalikan 67.4 juta penumpang, terdiri daripada 37 juta penumpang antarabangsa dan 30.4 juta penumpang domestik.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan 5.2 juta penumpang pada Ogos, meningkat 3.8 peratus berbanding Julai.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching masing-masing mencatat pertumbuhan bulan ke bulan sebanyak 12 peratus dan 10.8 peratus, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang meningkat 2.3 peratus.
Di peringkat kumpulan, MAHB mengendalikan 13.6 juta penumpang pada Ogos, meningkat 5.8 peratus berbanding Julai.
Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen pula mengendalikan 5.2 juta penumpang, meningkat 6.8 peratus bulan ke bulan.
Prestasi itu menjadikan jumlah trafik kumpulan bagi tempoh lapan bulan pertama 2026 sebanyak 101.3 juta penumpang.
Dari segi ketersambungan penerbangan, rangkaian MAHB terus diperkukuh pada Ogos dengan pelancaran perkhidmatan penerbangan terus harian TransNusa antara Bandar Lampung, Indonesia dan KLIA Terminal 1 pada 24 Ogos.
Menurut MAHB, KLIA turut mengekalkan kedudukannya sebagai lapangan terbang antarabangsa keempat paling berhubung di dunia dan megahub paling berhubung di Asia Pasifik berdasarkan Indeks Megahub OAG 2026.
Pengarah Urusan Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata peningkatan trafik domestik dan antarabangsa menunjukkan aktiviti penumpang di seluruh rangkaian semakin kukuh pada Ogos.
“Pengembangan berterusan ketersambungan syarikat penerbangan dan kedudukan KLIA dalam kalangan megahub terkemuka dunia mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pintu masuk penerbangan serantau yang penting.
“Seiring pertumbuhan jumlah penumpang dan ketersambungan, tanggungjawab kami adalah memastikan pengalaman di lapangan terbang turut berkembang seiring dengannya.
“Pertumbuhan perlu disokong kemudahan yang boleh dipercayai serta standard perkhidmatan yang memberikan keyakinan kepada penumpang sepanjang perjalanan mereka,” katanya. – BH ONLINE




