Malaysia

Google labur RM650 juta bangun infrastruktur air di Negeri Sembilan

Google memperuntukkan pelaburan AS$160 juta (RM650 juta) bagi membangunkan infrastruktur perkongsian bekalan air di Negeri Sembilan, seiring pembangunan infrastruktur digital syarikat teknologi global itu di negeri berkenaan yang merangkumi pembinaan kampus pusat data di Port Dickson.

Pelaburan itu membabitkan pembinaan takungan simpanan air luar sungai dan loji rawatan air yang bukan sahaja menyokong operasi pusat data Google pada masa depan, malah meningkatkan kapasiti bekalan air untuk kegunaan masyarakat setempat.

Pembangunan infrastruktur berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), dengan Gamuda Bhd dilantik untuk membina kedua-dua fasiliti berkenaan.

Setelah siap, kemudahan ini akan dimiliki oleh Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan), atau MBINS, iaitu badan berkanun di bawah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menguruskan aset negeri sebagai sebahagian daripada mandatnya.

Apabila beroperasi kelak, loji itu akan berupaya membekalkan 65 juta liter air terawat yang selamat diminum setiap hari untuk memenuhi keperluan kampus pusat data Google yang bakal dibangunkan di Springhill Industrial Park, Port Dickson, serta menambah bekalan air negeri untuk kegunaan awam.

Takungan simpanan air luar sungai yang terletak di sepanjang Sungai Linggi pula direka untuk menakung lebihan aliran sungai dan air hujan, khususnya ketika musim hasil air tinggi, bagi membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitar yang mudah dilanda bencana itu.

Air mentah yang ditakung akan disalurkan ke loji rawatan untuk diproses bagi kegunaan domestik dan komersial, manakala ketika tempoh aliran air rendah, loji berkenaan boleh menggunakan simpanan takungan bagi memastikan bekalan air kepada masyarakat terus terpelihara tanpa mengganggu aliran semula jadi sungai.

Pembangunan infrastruktur digital Google di Negeri Sembilan turut merangkumi kampus pusat data, infrastruktur air berkongsi serta program pendidikan dan pembangunan tenaga kerja bersasar.

Syarikat itu juga akan menanggung 100 peratus kos tenaga elektrik yang digunakan kampus pusat datanya serta kos langsung infrastruktur yang diperlukan untuk menyambungkannya kepada grid, selain mematuhi semua peraturan tempatan berkaitan.

Pengarah dan Ketua Infrastruktur Global serta Tenaga Asia Pasifik Google, Drew Byrnes, berkata keputusan membiayai infrastruktur air berkongsi di Negeri Sembilan mencerminkan aspirasi global syarikat itu untuk menggantikan semula 120 peratus jumlah air tawar yang digunakan.

Beliau berkata, penilaian risiko air Google mendapati sumber air tempatan tidak berada pada tahap risiko kekurangan atau penyusutan yang tinggi, namun syarikat itu tetap mengambil pendekatan untuk membangunkan operasinya secara mampan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Negeri Sembilan, Datuk Najmuddin Sharif Sarimon, berkata pembangunan kampus pusat data Google itu menjadi pencapaian penting dalam usaha negeri berkenaan muncul sebagai destinasi berdaya saing bagi pelaburan infrastruktur digital bernilai tinggi.

Beliau berkata, kehadiran pelaburan swasta berkenaan menunjukkan kepentingan penyelarasan antara kepentingan pelabur dengan kepentingan awam sejak peringkat awal pembangunan bagi menghasilkan manfaat jangka panjang kepada negeri dan rakyat.

“Untuk Negeri Sembilan, menarik pelaburan bukan sekadar mengenai jumlah modal yang dilaburkan, tetapi juga kualiti pelaburan, sumbangan ekonomi jangka panjangnya dan keupayaannya mewujudkan nilai kepada rakyat,” katanya.

Najmuddin berkata, kehadiran Google turut mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi baharu ekonomi digital, selain berpotensi menarik pelaburan pelengkap, memperluas peluang perniagaan kepada syarikat tempatan dan menyokong pembangunan tenaga kerja lebih mahir.

Dalam perkembangan berkaitan, Google turut memperluas kerjasama dengan SOLS Foundation menerusi dua inisiatif baharu bagi menyediakan peluang pendidikan dan latihan kepada golongan muda untuk membina kerjaya dalam sektor tenaga bersih negara.

Inisiatif Solar Explorers and Solar Futures akan menyediakan Makmal Solar dan Tenaga di setiap sekolah kerajaan yang mengambil bahagian, dilengkapi sistem solar berkapasiti 2.56 kilowatt puncak (kWp) serta simpanan bateri 5.4 kilowatt jam (kWj).

Guru akan diberikan latihan untuk menggunakan kemudahan itu dalam pembelajaran interaktif, manakala murid sekolah rendah didedahkan kepada teknologi solar dan amalan penjimatan tenaga, sementara pelajar sekolah menengah diberi pendedahan mengenai kerjaya tenaga bersih serta laluan latihan berkaitan.

Satu lagi inisiatif, Digital Skills for the Renewable Energy Workforce, membabitkan pembiayaan dan pembangunan program latihan khusus selama 36 jam sebagai komponen tetap SOLS Solar Academy bagi melengkapkan golongan muda daripada keluarga berpendapatan rendah dan komuniti Orang Asli dengan kemahiran digital untuk bekerja dalam sektor tenaga bersih.

Kedua-dua inisiatif itu dijadualkan bermula di Negeri Sembilan pada awal 2027, merangkumi pendidikan awal serta latihan kemahiran berorientasikan industri bagi menyokong peralihan tenaga bersih Malaysia. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close