Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) melantik Ramjeet Kaur Virik selaku Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 2 Julai depan.
Syarikat tenusu itu dalam kenyataan hari ini berkata, Ramjeet bakal menggantikan Tarang Gupta yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Alaska Milk Corporation di Filipina, iaitu anak syarikat FrieslandCampina berkuat kuasa 1 Ogos depan.
“Ramjeet ketika ini adalah Pengarah Pemasaran (bahagian Tenusu Pengguna) untuk DLMI. Beliau mula berkhidmat dengan syarikat pada 2011 sebagai Pengurus Pemasaran untuk produk minuman berasaskan susu.
“Beliau kemudian berpindah ke Indonesia untuk bertugas bersama PT Frisian Flag Indonesia menjawat peranan yang sama untuk kategori susu pekat manis sebelum memegang jawatan Pengurus Pemasaran Antarabangsa berpangkalan di Singapura.
“Pada Januari 2018, Ramjeet telah dilantik sebagai Pengarah Pemasaran untuk kategori Tenusu Pengguna di DLMI di mana beliau mengetuai portfolio berkenaan dan berjaya memperkukuhkan kedudukan pasaran selama tiga tahun,” katanya.