MalaysiaPilihan Editor

Ahli Parlimen Titiwangsa Bersama BERNAS Anjur Gema Ramadan Bantu Lebih 1,000 Warga PPR Hiliran Ampang

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Keprihatinan dan kecaknaan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) disambut baik Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di atas usaha murni bantuan kepada warga bandar terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, golongan asnaf, miskin bandar dan kumpulan B40.

Usaha murni ini dilaksanakan menerusi program Gema Ramadan anjuran Bernas dan kerjasama pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa yang mana telah menyantuni lebih 1,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang.

Program tersebut turut meliputi antaranya bergotong-royong memasak bubur lambuk dan makanan berbuka puasa, ziarah Ramadan di rumah dan majlis berbuka puasa anjuran Bernas di Surau Al-Falah, PPR Hiliran Ampang.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari berkata, program Gema Ramadan itu sangat bermakna khususnya kepada penduduk di situ yang menerima pelbagai bantuan daripada Bernas.
“Di sini ada 940 unit rumah terdiri daripada blok A, B dan C. Setiap rumah menerima beras 10 kilogram, gula dan mihun. Selain itu, turut disampaikan bantuan kepada asnaf, anak yatim dan ibu tunggal.

“Ini salah satu CSR Bernas dan kita ucap terima kasih kerana memilih Parlimen Titiwangsa untuk program ini,” katanya.

Di samping itu, Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya berbesar hati mengadakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di PPR Hiliran Ampang dan pemilihan lokasi di bandar juga penting bagi menjayakan program tersebut.

“Di bandar juga ramai golongan yang memerlukan dan selalunya kita mengadakan program di luar bandar, perkampungan selain kawasan Orang Asli.

“Semasa ziarah tadi, kita turut menyantuni dua rumah yang mana seorang pesakit strok dan satu unit lagi ditimpa ujian kebakaran,” katanya kepada pemberita pada Program Gema Ramadan Bernas di PPR Hiliran Ampang di sini. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close