Duniaku TeknokratPilihan Editor

TNB Dinobat Institusi Korporat Paling Dipercayai Di Malaysia

Tenaga Nasional Bhd (TNB) dinobatkan sebagai organisasi atau institusi korporat paling dipercayai di Malaysia pada 2023 berdasarkan kajian terbaharu oleh salah satu firma penyelidikan pasaran terbesar dunia Ipsos Sdn Bhd (Ipsos).

Kajian terbaharu terbabit memperlihatkan syarikat utiliti itu menduduki tangga teratas sebagai entiti yang paling dipercayai di Malaysia mengatasi lebih 100 jenama dalam kaji selidik sepanjang tujuh bulan mulai April 2023.

Selain itu, TNB juga diiktiraf sebagai jenama yang paling dipercayai dalam industri utiliti, mempamerkan kejayaan syarikat dalam membina hubungan yang teguh dengan rakyat Malaysia.

Ipsos Malaysia dalam siaran akhbar pada 23 Januari 2024 bertajuk ‘Ipsos Trust Track 2023: The Most Trusted Corporations and Institutions in Malaysia’, mengumumkan nama lima syarikat teratas dengan TNB di tempat pertama, diikuti rapat oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan seterusnya Shell, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Petron di tempat kelima.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Baharin Din, mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada warga TNB serta melahirkan kesyukuran atas pengiktirafan yang besar dan sangat bermakna terhadap perkhidmatan syarikat yang giat menerajui peralihan tenaga menuju pelepasan sifar bersih 2050.

“Kepercayaan dan keyakinan ini tidak boleh dibeli. Ia datang dari keyakinan masyarakat dan pendirian mereka terhadap amalan dan budaya kerja TNB. Pemegang taruh lazimnya selesa berurusan dengan organisasi yang dipercayai dan diyakini.

Ipsos dalam kenyataannya menyebut bahawa kepercayaan yang teguh mencerminkan keupayaan organisasi untuk mengekalkan hubungan yang kukuh dengan pelanggan mereka, walaupun dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Kaji selidik itu meliputi lebih 100 syarikat dan institusi di Malaysia dengan menemubual lebih 7,000 responden yang memberi maklum balas bahawa kebanyakan syarikat berupaya mengekalkan kepercayaan dan keyakinan pelanggan dalam bidang industri masing-masing.

TNB pernah tersenarai antara lima syarikat paling dipercayai pada penyertaan sulungnya dalam kaji selidik Ipsos pada 2021.

Mengulas lanjut pencapaian 2023, Baharin berkata, sejak Lembaga Letrik Negara (LLN) ditubuhkan lebih 74 tahun lalu, TNB terus berbakti membekalkan tenaga elektrik kepada negara.

Beliau berkata, ketika lebih 99 peratus rakyat sudah mendapat bekalan elektrik, peranan pihaknya kekal dengan fokus memastikan bekalan berdaya harap demi membawa kehidupan sejahtera, ‘Better, Brighter’ kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, pengalaman menerajui industri tenaga elektrik lebih tujuh dekad, membolehkan TNB diyakini memimpin tiga projek utama Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), memacu Tenaga Boleh Baharu (TBB) pada skala besar dan inisiatif teknologi bersih sejajar sasaran Malaysia negara neutral karbon 2050.

Justeru, katanya, TNB menjadi penggerak utama peralihan tenaga bertanggungjawab yang bukan saja mementingkan alam sekitar tetapi juga membuka pintu kepada pelbagai peluang sambil memupuk inovasi teknologi, suatu dedikasi tanpa henti untuk membentuk landskap tenaga masa depan di Malaysia. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close