Dimensi BisnesPilihan Editor

Aplikasi Google Maps Bantu Rancang Perjalanan Rapid Bus

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) melancarkan perkongsian data melalui aplikasi Google Maps yang membolehkan penumpang menyemak lokasi semasa sebenar (real time) bagi hampir 170 laluan bas di Lembah Klang dan Selangor.

Perkhidmatan itu termasuk bagi bas perantara Transit Aliran Ringan (LRT), Go KL dan beberapa laluan bas Smart Selangor terpilih.

Pengerusi, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata kolaborasi buat kali pertama bersama platform digital, Google itu membolehkan pengguna merancang perjalanan dengan lebih efisien.

“Pengguna boleh merancang jadual untuk menaiki bas, ini penting kerana mereka dapat menjimatkan masa terutama bagi yang selalu bergerak dari rumah ke pejabat dan seumpanya.

“Kita juga akan terus menambah baik sistem sedia ada secara inovatif dan kreatif bagi memastikan perkhidmatan disediakan adalah yang terkini dan efisien,” katanya ketika melancarkan perkongsian data melalui aplikasi Google Maps oleh Rapid Bus Sdn Bhd di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Muhammad Nizam Alias.

Katanya, Rapid Bus juga sedang membangunkan aplikasi khusus bagi tujuan itu yang dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

“Aplikasi ini akan lebih menyeluruh, terdapat informasi mengenai setiap stesen bas, langkah keselamatan dan butang S.O.S bagi membolehkan penumpang mendapatkan pertolongan dalam situasi kecemasan,” katanya.

Mengikut data Rapid Bus, kira-kira 430,000 pengguna melayari laman web rasmi syarikat itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 26,000 daripadanya bertujuan mendapatkan informasi mengenai jadual perjalanan bas.

Rapid KL turut menerima 4,865 pertanyaan pelanggan sepanjang Januari hingga April lalu mengenai lokasi bas dengan 60 peratus daripadanya ingin mengetahui kedudukan atau kekerapan bas.

Selain perjalanan bas, aplikasi itu turut menyediakan pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkhidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan.

Bagi menggunakan kemudahan ini, pengguna perkhidmatan bas Rapid KL boleh memuat turun aplikasi Google Maps daripada Google Play atau Apple App Store. – BERITA HARIAN ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close