Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara di Dewan Rakyat, Isnin ini.
Ismail Sabri dijadual membentangkan RMK12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 itu pada 11.30 pagi selepas sesi soal jawab lisan.
Berhadapan pandemik COVID-19 di penghujung Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) selain perubahan pimpinan kerajaan, pembentangan RMK12 dipinda sekurang-kurangnya dua kali daripada tarikh asal pada 6 Ogos tahun lepas kepada Januari tahun ini, sebelum akhirnya dibentang pada Isnin ini.
Bersesuaian tema Keluarga Malaysia, RMK12 dijangka memberi keutamaan kepada aspek kebajikan dan perlindungan sosial masyarakat yang menjadi penggerak ekonomi negara dengan projek pembangunan akan turut lebih berpaksikan rakyat berbanding projek mega baharu.
Selain itu, sepertimana Rancangan Malaysia yang lain sejak mula diperkenal pada 1966, fokus kerajaan dijangka akan turut menjurus ke arah merapatkan jurang pembangunan antara negeri dengan lebih banyak perbelanjaan negara akan diagihkan bagi membangunkan negeri kurang maju.
Sementara itu, menurut portal rasmi Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, RMK12 merupakan bahagian terakhir dalam Pelan Pemulihan Negara di bawah pendekatan 6R iaitu ‘reform‘ (resolve, resilient, restart, recovery, revitalise) yang akan membina asas kukuh dalam membentuk sebuah negara berteknologi dan berpendapatan tinggi dengan pengagihan yang lebih saksama.
Ini sekali gus bagi membolehkan Keluarga Malaysia mengecapi kehidupan yang lebih bersatu padu, harmoni dan bermaruah dengan mengetepikan segala perbezaan dan meraikan kepelbagaian.
Menurut takwim mesyuarat Dewan Rakyat yang dimuat naik dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia, sesi perbahasan RMK12 akan bermula pada 28 September hingga 4 Oktober, sebelum penggulungan oleh menteri berkaitan. – BERNAMA/PIX BH