Ekonomi Islam & GlobalGovernans

ART Tak Boleh Undur Semula, MITI Akan Teliti, Runding Semula Perkara Tak Adil Kepada Malaysia – Johari Ghani

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menegaskan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS) tidak boleh diundur.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu yang baru dilantik menerajui jawatan berkenaan, berkata beliau bersama kakitangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagaimanapun akan meneliti perkara yang didapati tidak berlaku adil kepada Malaysia dalam mana-mana perjanjian perdagangan supaya ia dapat dirunding semula.

“Apa yang sudah ditandatangani, kita tak boleh ‘reverse’ (undur balik). Tetapi yang kita nak tengok bersama-sama MITI ini, kita (nak) tengok manakah benda-benda yang kita boleh ‘ask for renegotiation’ (minta untuk dirunding semula).

“Ia membabitkan mana benda-benda yang tidak adil. Pasal ini adalah bukan benda yang ia ada titik noktah. Anda perlu berunding. Sesuatu yang tidak adil kepada kita, kita akan runding,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi ‘clock in’ sebagai simbolik memulakan tugas rasmi di MITI baru-baru ini pada 17 Disember 2025.

Meskipun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menunjukkan pertumbuhan dalam tempoh sedekad lalu, beliau berkata sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap ekonomi negara tidak berkembang dengan begitu signifikan.

“Kalau kita lihat, semakin banyak negara yang telah maju kini mencari perlindungan dalaman. Apabila mereka memberi tumpuan kepada perlindungan dalaman, ini menjadi sebab lebih kukuh untuk kita turut mempertahankan negara kita.

“Jadi, bagaimana kita nak mempertahankannya… kalau kita lihat hasil KDNK telah berkembang begitu besar dari 2015 sehingga 2024.

“Tetapi kita punya sumbangan PKS jika dibandingkan dalam tempoh 10 tahun itu, pembangunannya 37 peratus kepada sumbangan KDNK dan sekarang ini 39 peratus. Ia hanya meningkat sedikit hanya dua peratus. Jadi itu yang kita akan lihat,” katanya.

Dalam pada itu, Johari menjelaskan kehadirannya di MITI termasuk apa dirancang untuk dilaksanakan bukan untuk mencipta perubahan drastik atau keajaiban segera, sebaliknya sebarang usaha perlu dibuat dengan merujuk data dan statistik.

Beliau juga berpandangan strategi untuk mempertahankan ekonomi negara perlu dilaksanakan secara berhemah tanpa perlu diumumkan secara terbuka, sebaliknya melalui dasar dan pelaksanaan yang berkesan.

“Anda tak perlu beritahu orang (apa yang kita lakukan). Apa yang kita buat di sini untuk mempertahankan. Macam mana kita hendak pertahankan ekonomi sebab semua negara maju cuba melindungi negara mereka.

“Jadi itulah strateginya. Saya mahu bekerjasama sebagai sepasukan,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close