GovernansPilihan Editor

Belanjawan 2021: Tumpu Kepada Ekonomi Tidak Formal, Penganggur Atas 40 Tahun

Kerajaan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu pemulihan ekonomi negara yang terjejas sekali gus menjadikan Malaysia contoh kepada negara lain.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Tamat Sarmidi, berkata Malaysia juga antara negara yang pantas pulih daripada kesan penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, dalam krisis kesihatan kewangan ketika ini, walaupun banyak sektor terjejas tetapi terdapat sektor yang mencatatkan peningkatan seperti farmaseutikal dan sarung tangan getah termasuk pengusaha kecil yang terbabit dalam industri makanan dan bekalan.

“Ada juga bahagian ekonomi yang mengaut keuntungan. Kita lihat pada konteks yang kecil seperti di kawasan luar bandar, pengusaha kedai runcit dan bekalan mendapat permintaan serta meningkat.

“Pembeli tidak keluar ke bandar, hanya tertumpu kepada kedai kecil sekitar kediaman mereka. Begitu juga pengusaha makanan, disebabkan larangan pekerja asing, pengusaha makanan tempatan semakin meningkat.

“Ia kesan positif kepada ekonomi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara BH bertajuk ‘Belanjawan 2021 – Apa Perlu Ada’ yang disiar secara langsung melalui Facebook dan Youtube Berita Harian Online, hari ini.

Program itu turut menampilkan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor dan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, sebagai panel dan dikendalikan oleh Penerbit Eksekutif dan Penyampai Berita Edisi7, Fazilah Hani Harun sebagai moderator.

Dr Tamat berkata, bagaimanapun, terdapat juga golongan yang tidak mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan ini seperti mereka yang terbabit dalam ekonomi tidak formal.

Beliau berkata, ekonomi tidak formal merujuk kepada peniaga kecil yang tidak mendaftar perniagaan mereka untuk membolehkannya mendapat bantuan perniagaan.

Katanya, golongan sebegini hanya mendapat bantuan kos sara hidup seperti Bantuan Prihatian Nasional tetapi tidak mendapat bantuan perniagaan.

“Golongan ini sebenarnya yang perlu diperhalusi kerajaan, dan memikirkan bagaimana mereka mendapat pertolongan dalam Belanjawan 2021 ini,” katanya.

Dr Tamat berkata, kerajaan juga perlu memberikan bantuan secara bersasar bagi memastikan ketahanan ekonomi negara dan belanjawan kali ini harus menumpukan kepada komuniti.

Beliau berkata, bantuan kerajaan wajar diteruskan kerana rakyat berhadapan dengan kesukaran ketika ini.

Sementara itu, Abdul Halim pula berkata, Belanjawan 2021 kali ini juga perlu memikirkan satu kaedah bagaimana membantu rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan ketika ini.

Beliau berkata, pekerja yang diberhentikan berumur 40 tahun ke atas akan mengalami kesulitan dalam mendapatkan pekerjaan di masa hadapan.

“Mereka ini sukar dapat pekerjaan sebab faktor usia. Kerajaan perlu memikirkan kaedah dalam membantu golongan ini dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Perlu diingat ekonomi rakyat membabitkan ekonomi negara, harus ada pendekatan pembangunan mereka. Pekerja juga adalah tunggak kepada kestabilan ekonomi negara,” katanya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close