Oleh Faisalludin Yusuff
Susulan dari Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Al-Sultan dan Raja-Raja Melayu agar keutamaan diberikan kepada menangani wabak Covid-19 dan memastikan kebajikan rakyat terbela, maka saya memohon agar pihak Kerajaan dapat mempertimbangkan ke arah langkah yang lebih dinamik dan mesra rakyat.
Saya cadangkan langkah-langkah berikut dalam menghadapi wabak covid 19 terutama dalam budget 2021:-
a) Pemberian moratorium secara automatik kepada semua rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19.
b) Insentif khas buat PKS dan IKS tempatan sebanyak RM5,000 yang terkesan wabak Covid-19.
c) Insentif khas RM1000 kepada semua pemandu teksi, bas dan e-hailing yang terkesan dengan wabak Covid-19.
d) BPN 3.0 kepada semua rakyat tempatan yang layak minimum RM1,500 sebulan dibayar kepada semua rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19.
e) Ex- Gratia Bencana kepada semua kakitangan kerajaan (pusat dan negeri) yg terlibat sebagai frontliners dalam Covid 19 seperti KKM, ATM, PDRM, PBT, APMM, MKN dan lain-lain.
f) Pampasan khas sebanyak RM500 kepada semua mahasiswa IPTA seluruh Malaysia atas beban yang terpaksa ditanggung sewaktu proses pendaftaran semula yg dibatalkan pada saat akhir akibat penularan semula wabak Covid- 19.
g) Memastikan semua skim Takaful dan Insuran rakyat tidak terbatal sepanjang tempoh segala jenis Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
h) Pemberian insentif, sekurang-kurangnya RM,1500 bagi seorang pekerja setiap bulan, kepada semua majikan yang terkesan dengan wabak covid-19 dan tidak menamatkan perkhidmatan pekerja mereka.
i) Pemberian diskaun 50% dari setiap bil penggunaan utiliti (TNB, Air, Indahwater) yang diterima oleh pengguna sepanjang tahun 2020 dan 2021.
j) Pemberian subsidi terhadap setiap bil telefon mudah alih yang diterima oleh warganegara sepanjang tahun 2020 dan 2021.
k) Pengurangan cukai pendapatan individu dan korporat sebanyak 50% pada tahun 2020 dan 2021 akibat terkesan dengan wabak covid-19.
l) Pemberian diskaun cukai tanah dan cukai pintu bagi tahun penggal kedua tahun 2020 dan tahun 2021 oleh Pihak Berkuasa Tempatan kepada semua rakyat.
m) Insentif kepada petani dan nelayan yang terlibat memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang tahun 2020 dan 2021.
n) Pemberian makanan asas percuma seperti beras, gula, minyak, tepung dan lain-lain berjumlah RM500 setiap bulan kepada setiap keluarga sepanjang tempoh PKP dilaksanakan di kawasan-kawasan terlibat.
o) Kebenaran diberikan kepada pendeposit KWSP untuk mengeluarkan sejumlah maksimum RM10 ribu dari Akaun 1.
p) Insentif pemotongan diskaun cukai korporat bagi mana-mana syarikat korporat yang membuat kerja-kerja Corporate Social Responsbility (CSR) atau membuat sumbangan kewangan kepada rakyat tempatan yang terkesan dengan wabak Covid 19.
Saya berpendirian lagi bahawa usaha bersungguh-sungguh hendaklah dilakukan oleh semua pihak baik dalam Kerajaan mahupun Pembangkang dalam mencari keseimbangan di antara mengurus wabak covid-19 dan meringankan bebanan rakyat.
Apabila semua pihak telah berusaha yang terbaik, maka selebihnya kita bergantung harap dengan Allah SWT. – BACALAHMALAYSIA.MY
“Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. (Surah At-Talaq: 3).
- Penulis ialah peguam muda kampung.