Dimensi Bisnes

BACALAH AUTO: Axia & Bezza Laris, Pengeluaran Kereta PERODUA Melonjak

Pengeluaran kereta PERODUA meningkat sembilan peratus bulan ke bulan pada Ogos didorong oleh dua model kereta termurah yang paling laris iaitu Axia dan Bezza.

Penganalisis RHB Investment Bank, Syahril Hanafiah, berkata bilangan unit Axia yang siap dipasang bulan lalu melonjak 14 peratus, manakala unit Bezza meningkat sebanyak 31 peratus.

“Apabila bilangan unit kedua-dua model ini digabungkan, dua model ini merangkumi 57 peratus jumlah pengeluaran kereta PERODUA pada bulan Ogos,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dua pengeluar kereta nasional merekodkan peningkatan dalam jumlah pengeluaran apabila PROTON turut mencatatkan kenaikan sebanyak empat peratus bulan lalu.

Beliau berkata, apabila pertumbuhan jumlah pengeluaran industri (TPV) dilihat mengatasi jumlah keseluruhan industri (TIV), hal ini bermakna bilangan tempahan tertunggak semakin mengurang semasa bulan berkenaan.

Syahril berkata, TIV untuk bulan Ogos mencecah 71,162 unit, susut 2.3 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

Walau bagaimanapun, beliau berkata TIV bagi lapan bulan pertama tahun ini melonjak 5.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 533,301 unit, manakala jumlah pengeluaran keseluruhan berada pada paras 74,000.

“Oleh sebab prestasi TIV dijangkakan lebih lemah pada September susulan penutupan sementara operasi kilang untuk tujuan penyelenggaraan, kami berpendapat jualan akan kembali normal pada tempoh separuh kedua 2024, dan mungkin jatuh lapan peratus tahun ke tahun.

“Dengan ini, kami bertindak untuk tidak mengubah wajaran ‘neutral bagi sektor hartanah dengan ramalan TIV bagi 2024 sebanyak 790,000 unit,” katanya.

Syahril berkata, kebanyakan syarikat pengeluar kereta utama mengalami kejatuhan jualan unit kereta dengan PROTON, Toyota dan Honda masing-masing mengalami penurunan sebanyak 10 peratus, 17 peratus dan lima peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, katanya PERODUA merekodkan jualan bulanan tertinggi dengan mencecah bilangan sebanyak 34,700 unit, peningkatan sebanyak 11.6 peratus berbanding 2023.

“Jika tidak mengambil kira catatan syarikat pengeluar kereta nasional terbesar itu, TIV pastinya akan susut sebanyak 13 peratus tahun ke tahun pada bulan Ogos.

“Prestasi mantap TIV setakat tahun ini disumbang oleh jualan kereta penumpang yang meningkat lapan peratus tahun ke tahun, manakala jualan kereta komersial menurun 14 peratus yang mungkin disebabkan oleh penarikan subsidi diesel,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close