MalaysiaPilihan Editor

UPSI rangkul kejuaraan International University Sailing Championship 2026

oleh Bazli Razak

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan buat julung kalinya dalam Kejohanan International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026 yang berlangsung di Pulau Duyong, Terengganu, akhir Julai 2026, baru-baru ini.

Pasukan pelayaran UPSI bergambar kenangan sambil menunjukkan trofi dan sijil kemenangan pada Kejohanan International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026 di Pulau Duyong, Terengganu.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, pasukan pelayaran UPSI menampilkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan dengan menewaskan beberapa pasukan universiti ternama dan berpengalaman dari dalam serta luar negara untuk merangkul gelaran juara keseluruhan.

Dr. Md Amin berkata, UPSI mengesahkan kejuaraan selepas mengumpul 26 mata, sekali gus mengatasi cabaran sengit pasukan tuan rumah, Malaysia University Sailing Team dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang muncul naib juara dengan 24 mata manakala wakil Singapura, Team NUS dari National University of Singapore (NUS) menduduki tempat ketiga dengan 22 mata.

“Kejayaan julung kali ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan menjadi bukti jelas bahawa atlet UPSI mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pasukan antarabangsa yang jauh lebih berpengalaman.

Pasukan pelayaran UPSI bergambar pada Kejohanan International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026 di Perairan Pulau Duyong, Terengganu.

“Disiplin yang tinggi, percaturan strategi yang berkesan serta semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh pasukan UPSI wajar dijadikan teladan. Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UPSI, malah membuktikan bahawa ‘Impossible Is Nothing’ apabila kita berusaha dengan gigih,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pasukan UPSI mempamerkan prestasi yang konsisten sejak peringkat kelayakan apabila menjuarai Kumpulan B dengan kutipan 14 mata hasil empat mata dalam perlumbaan pertama dan kedua serta tiga mata bagi perlumbaan ketiga dan keempat.

Pasukan pelayaran UPSI bergambar pada Kejohanan International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026 di Perairan Pulau Duyong, Terengganu.

 

Menurutnya, momentum cemerlang itu diteruskan pada peringkat akhir apabila pasukan UPSI berjaya menambah kutipan mata menerusi persembahan bertenaga dengan memperoleh enam mata dalam perlumbaan pertama, lapan mata dalam perlumbaan kedua serta masing-masing enam mata dalam perlumbaan ketiga dan keempat.

“Kejayaan ini juga membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berupaya melahirkan atlet yang kompetitif di pentas antarabangsa melalui pembangunan bakat dan latihan yang berterusan,” katanya.

Pasukan pelayaran UPSI bergambar pada Kejohanan International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026 di Perairan Pulau Duyong, Terengganu.

Kejohanan antarabangsa anjuran UMT itu menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara termasuk Singapura dan Taiwan, sekali gus meletakkan UPSI sebagai antara pencabar baharu yang disegani dalam arena sukan pelayaran universiti. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close