Dimensi BisnesEkonomi Islam & Global

BACALAH AUTO: Malaysia tetap terbuka pelaburan automotif dari China – Menteri MITI

Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan automotif dari China, demikian menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, sehingga Disember 2025, daripada 34 jenama automotif asing di pasaran, 14 daripadanya adalah jenama China termasuk BYD, Chery, Jaecoo, Jetour, Haval, Wey, MG dan Volvo.

BYD sendiri, katanya telah diberikan Lesen Pembuatan Sementara (ML) pada 29 September 2025.

“Selain itu, Chery Automobile Co. Ltd turut diberikan Lesen Pembuatan oleh MITI pada 26 Jun 2025, menjadikannya satu lagi pengeluar automotif China yang menerima kelulusan rasmi untuk mengeluarkan kenderaan secara tempatan.

Dalam pada itu, Johari berkata MITI juga ingin menegaskan bahawa dasar-dasar ini bersifat pembangunan, bertujuan mengalihkan Malaysia ke arah pembuatan maju.

“Malaysia mempunyai lebih 592 vendor automotif khusus serta tenaga kerja teknikal mahir untuk menyokong pembuatan kenderaan elektrik (EV) bertaraf dunia.

“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan pengeluar yang datang bukan sahaja untuk memenuhi pasaran domestik, tetapi untuk membina bagi pasaran global, dan rangka kerja dasar kita direka khusus untuk membolehkan serta mempercepatkan aspirasi itu,” katanya.

Menurut Johari, Malaysia mempunyai rekod prestasi yang panjang dan terbukti sebagai destinasi pelaburan automotif asing berkualiti tinggi.

Katanya, KLK TechPark dan kawasan sekitarnya, iaitu Automotive High-Tech Valley (AHTV), membentuk koridor perindustrian yang telah matang dengan rangkaian pembekal yang kukuh, bakat kejuruteraan serta infrastruktur yang dibangunkan khusus untuk pengeluaran kenderaan generasi baharu.

“Nama global termasuk Mercedes-Benz, Volvo dan Stellantis (Peugeot) telah memilih Malaysia sebagai pangkalan pemasangan serantau mereka.

“Terkini, Chery Automobile Co. Ltd telah memulakan pembinaan kilang pembuatan di Beringin High-Tech Automotive Valley di bawah rangka kerja syarat yang sama, sekali gus mengukuhkan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi serius bagi pembuatan EV,” katanya.

Johari berkata, kedudukan Malaysia di tengah-tengah ASEAN memberikan akses kepada pasaran serantau melebihi 600 juta pengguna, yang diperkukuhkan lagi melalui 17 perjanjian perdagangan bebas yang membuka pasaran global kepada kenderaan yang dipasang di sini.

Katanya, tenaga kerja Malaysia berkemahiran teknikal, fasih berbahasa Inggeris dan berpengalaman dalam pembuatan berketepatan tinggi.

“Persekitaran kawal selia negara pula, walaupun menuntut standard yang tinggi, adalah stabil, telus dan dilaksanakan secara konsisten,” katanya.

Beliau berkata, bagi pengeluar yang serius untuk membina kehadiran jangka panjang berorientasikan eksport di Asia Tenggara, Malaysia kekal sebagai antara destinasi paling menarik di rantau ini.

Menurutnya, Malaysia terus terbuka kepada mana-mana pelabur dan perniagaan yang berpotensi untuk memasuki pasaran negara ini.

“Kami menjemput semua pengeluar automotif global termasuk jenama dari China untuk berkembang bersama kami, bukan sahaja sebagai pasaran tetapi sebagai pangkalan pembuatan dan eksport.

“Dasar kami bukan bertujuan menutup pintu, sebaliknya memastikan setiap pelaburan mewujudkan nilai tempatan yang mendalam, pemindahan teknologi serta peluang pekerjaan yang mampan. Kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi yang berkongsi visi ini,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close