GovernansMalaysiaPilihan Editor

PARLIMEN: 76.5 Peratus FDI Direalisasikan Antara 2018-2021

Pertanyaan soalan pertama Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

Sejumlah 76.5 peratus daripada keseluruhan nilai pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan antara 2018 hingga 2021 berjaya direalisasikan dalam tempoh setahun hingga dua tahun.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong, berkata kerajaan meluluskan FDI bernilai RM392.9 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA).

Daripada jumlah FDI yang diluluskan itu, katanya, sejumlah RM300.5 bilion daripada pelaburan berkenaan berjaya direalisasikan.

“Perincian FDI yang direalisasikan antara 2018 hingga 2021 adalah 57.6 peratus bagi 2018, 75.6 peratus (2019), 62.2 peratus (2020) dan 87 peratus (2021). Data rasmi FDI yang diluluskan untuk 2022 hanya dimuktamadkan pada penghujung Mac depan.

“Secara lazimnya, pelaksanaan projek mengambil masa satu hingga dua tahun untuk direalisasikan, bergantung pada skala projek dan keadaan ekonomi semasa,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) yang bertanya jumlah FDI yang direalisasikan setiap tahun berbanding jumlah pelaburan yang diluluskan MIDA antara 2018 hingga 2022.

Menjawab soalan tambahan Johari yang bertanya sama ada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melapor dan membatalkan kelulusan FDI yang tidak direalisasikan selepas dua tahun, selain aliran keluar FDI, Chin Tong memaklumkan akan mempertimbang cadangan itu.

“Saya setuju penilaian kita terhadap FDI bkn saja berapa masuk, tapi juga apa yang direalisasikan dan selidik status pelaksanaan untuk mencari kenapa ia tak dilaksanakan.

“Selepas ini, kementerian akan lebih pentingkan berapa pekerjaan dicipta untuk rakyat tempatan dan melalui FDI, apa kesan positif terhadap ekonomi kita, selaras idea dalam Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan dasar pelaburan negara,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang bertanya jangkaan kemasukan FDI bagi tahun ini ketika permintaan semikonduktor dunia menurun dan perang Ukraine-Rusia, Chin Tong positif FDI Malaysia akan meningkat tahun ini.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan kesan suasana geopolitik semasa antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang menyebabkan pelabur memilih Asia Tenggara sebagai destinasi pilihan.

“Kita berdepan detik penting dalam sejarah, di mana keadaan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan China sudah membawa pelaburan ke rantau ini, namun soalnya adakah Malaysia bersedia mengambil kesempatan untuk realisasikan lebih banyak pelaburan FDI ke Malaysia, dan selepas itu mewujudkan peluang pekerjaan.

“Secara amnya, kita dalam keadaan di mana kita ada kemungkinan menyaksikan lonjakan ekonomi kedua, di mana aktiviti FDI akan meningkat tahun ini,” katanya. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close