Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: MACPMA sokong penuh dasar ditetapkan MITI kepada pelabur automotif

Persatuan Pengilang Komponen Automotif Malaysia (MACPMA) memberi sokongan penuh terhadap penjelasan terkini Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berhubung dasar pelaburan automotif negara yang dilaksanakan secara seragam dan konsisten kepada semua pelabur, termasuk BYD.

Dalam satu kenyataan, badan industri komponen automotif nasional itu mengiktiraf komitmen MITI untuk mengekalkan persekitaran pelaburan yang terbuka dan mesra pelabur, sambil memastikan pelaburan baharu dalam sektor automotif menyumbang secara bermakna kepada kelestarian jangka panjang ekosistem automotif negara.

Presidennya, Chin Jit Sin, berkata penekanan terhadap orientasi eksport, tahap kandungan tempatan serta integrasi dengan rantaian bekalan domestik adalah penting dalam memperkukuh asas perindustrian Malaysia dan daya saing perdagangan negara.

“Kami turut menyokong pendirian MITI bahawa insentif pelaburan automotif dan lesen pembuatan perlu diselaraskan dengan objektif pembangunan negara, termasuk pemindahan teknologi dan peningkatan keupayaan industri tempatan.

“Langkah berkenaan dilihat penting bagi memastikan pertumbuhan berterusan pengeluar komponen tempatan merangkumi Tier-1, Tier-2 dan Tier-3, sekali gus memperkukuh ekosistem vendor yang telah dibangunkan sejak beberapa dekad lalu melalui pelaburan dan pembangunan industri,” katanya.

Jit Sin berkata, MACPMA berpandangan pendekatan MITI akan memastikan pembangunan industri automotif negara lebih tersusun dan mampan, selain memberi nilai tambah menyeluruh kepada keseluruhan rantaian nilai automotif.

Pada masa sama, persatuan itu bersetuju dengan pendirian MITI bahawa dasar berkenaan bersifat pembangunan dan bukannya perlindungan, dengan matlamat memastikan pelaburan asing dapat melengkapi serta memperkukuh pemain industri tempatan.

“Pendekatan sedemikian diyakini mampu mewujudkan nilai mampan dalam rantaian nilai automotif negara, selain merangsang pertumbuhan yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

“Sebagai badan yang mewakili pengilang komponen automotif Malaysia, MACPMA menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan MITI serta pihak berkepentingan lain dalam menyokong dasar yang memperkasa industri,” katanya.

Beliau menegaskan, kerjasama erat antara kerajaan dan industri disifatkan sebagai elemen penting dalam memastikan ekosistem automotif Malaysia kekal kompetitif dalam landskap global yang semakin mencabar.

“MACPMA akan terus memperjuangkan pengukuhan keupayaan tempatan, daya tahan rantaian bekalan serta daya saing global industri automotif Malaysia demi memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” katanya.

MACPMA yang ditubuhkan pada 1978 adalah persatuan kebangsaan yang mewakili pengilang komponen dan alat ganti automotif tempatan, meliputi segmen peralatan asal (OE) dan pasaran gantian (RE).

Sebagai suara utama industri, persatuan itu aktif berinteraksi dengan kerajaan, pengeluar peralatan asal (OEM) dan pihak berkepentingan lain dalam hal ehwal dasar, pelaburan serta pembangunan ekosistem.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani semalam memberi penjelasan mengenai isu berkaitan BYD yang berpotensi menilai semula rancangan untuk kilang pemasangan tempatan (CKD) di Tanjung Malim, Perak.

Beliau menegaskan, dasar EV kementeriannya terpakai sama rata, dan syarat-syarat yang dikenakan ke atas BYD bukanlah unik kepada pengeluar kereta China itu. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close