MalaysiaPilihan EditorTwo Cents

Tun Rahah: Perginya Seorang Srikandi

KUALA LUMPUR: Negara hari ini bersedih dengan pemergian ke rahmatullah seorang srikandi negara, Tun Rahah Mohamed Noah, yang dikenali sebagai seorang isteri dan wanita yang cekal, ibu penyayang dan insan berhati mulia.

Rahah adalah figura penting di belakang dua bekas pemimpin nombor satu negara iaitu suaminya, Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein serta anaknya Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri keenam.

Dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor, beliau adalah puteri bongsu kepada seorang ahli politik negara, Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, di Johor Baharu.

Rahah, 87, mendirikan rumah tangga dengan Abdul Razak pada 4 September 1952 dan dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Datuk Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam serta Datuk Mohamed Nazim.

Sebagai seorang isteri kepada pemimpin utama negara, Rahah banyak memberikan semangat dan perangsang kepada suaminya terutama ketika menghadapi peristiwa darurat di Tanah Melayu dan rusuhan kaum pada 1969.

Memandangkan ayahnya mempunyai pengalaman yang luas dalam politik termasuk pernah menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat yang pertama dan Yang Dipertua Dewan Negara, Rahah banyak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada ayahnya mengenai selok-belok politik.

Beliau turut memainkan peranan yang aktif dalam setiap pilihan raya dengan berkempen dari rumah ke rumah dan berucap di perhimpunan anjuran wanita.

Beliau membuktikan bahawa kaum wanita juga boleh memberi sumbangan berkesan kepada pembangunan negara dengan membabitkan diri dalam beberapa kegiatan kaum wanita di negara ini.

Selain itu, Rahah seorang yang aktif dalam pergerakan kaum Ibu UMNO (kini Wanita UMNO) dan pernah menjadi pengasas pergerakan Wanita UMNO Petaling Jaya, selain cenderung dengan kerja-kerja kebajikan khususnya yang memberi manfaat kepada kaum wanita.

Beliau juga adalah penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) yang pertama pada 1969 hingga 1976 selain pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Restoran Rakyat dan menjadi Canselor pertama Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) pada 2001.

Sebagai seorang ibu, Rahah memainkan sebahagian besar peranan dalam mengasuh dan mendidik putera-puteranya.

Selepas Abdul Razak meninggal dunia, Rahah menjadi ibu dan bapa kepada anak-anaknya yang ketika itu masih belajar.

Beliau disifatkan sebagai seorang ibu yang sentiasa memberi sokongan dan bimbingan dengan penuh kasih sayang.

Najib dalam perutusan sempena Hari Ibu sebelum ini, berkata beliau tidak mungkin berada pada kedudukannya sekarang jika tidak kerana sokongan dan kasih sayang ibu yang tidak pernah pudar.

Menurutnya, beliau mengagumi dan terasa kerdil dengan ketinggian peradaban, sikap tenang, kemurahan dan kebaikan hati, kebijaksanaan serta gerak hati ibunya selama ini.

“Ibulah yang telah membolehkan setiap daripada kami memenuhi potensi diri; memenuhi janji cita-cita kami dan menyelusuri laluan yang ditentukan sebagai takdir kami,” katanya.

Pelbagai penganugerahan darjah dan pengiktirafan diterima Allahyarham, antaranya dikurniakan Darjah Seri Setia Mahkota daripada Kerajaan Persekutuan pada 1976 yang membawa gelaran ‘Tun’, Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Anugerah Srikandi daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia serta menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) daripada Universiti Utara Malaysia. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close