Penjelasan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berhubung isu pelaburan membabitkan jenama asing disifatkan selaras dengan Dasar Automotif Negara (NAP) yang bertujuan menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi serta memberi manfaat menyeluruh kepada ekonomi negara.
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dalam satu kenyataan berkata, kejelasan dasar berkenaan penting dalam memastikan hala tuju industri kekal konsisten serta mampu menarik penyertaan pelabur berkualiti tinggi.
Katanya, panduan yang selari dengan NAP berupaya mengukuhkan ekosistem industri automotif tempatan secara menyeluruh.
“Langkah itu juga dijangka mewujudkan limpahan ekonomi signifikan yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak berkepentingan dalam rantaian industri.
“Antara impak positif yang dikenal pasti termasuk peluang pekerjaan mampan dalam jangka panjang, selain peningkatan pelaburan dalam pembangunan prasarana,” katanya.
PERODUA turut menekankan kepentingan usaha memperkaya modal insan, khususnya dalam bidang berkaitan teknologi automotif dan kejuruteraan.
Selain itu, katanya, aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijangka terus diperkasakan selaras dengan keperluan industri yang semakin berkembang.
“Komitmen terhadap perkongsian teknologi dan kepakaran teknikal juga dilihat mampu meningkatkan daya saing pemain industri tempatan.
“Dalam masa sama, pembangunan usahawan tempatan termasuk pembekal dan pengedar dijangka terus diberi penekanan bagi memastikan pertumbuhan industri yang lebih inklusif,” katanya.
PERODUA menjelaskan visi ‘Next Generation Vehicle (NxGV)’ yang digariskan dalam NAP membuka peluang kepada rakyat Malaysia menikmati inovasi mobiliti yang lebih maju.
Melalui inisiatif itu, katanya, pengguna dijangka memperoleh nilai tambah dalam bentuk perkhidmatan yang lebih luas dan memenuhi keperluan semasa.
“Ia termasuk penyediaan perkhidmatan mobiliti tambahan yang menitikberatkan aspek keselamatan serta integrasi teknologi berasaskan internet,” katanya.
Menurut PERODUA, dasar, visi dan pelan hala tuju yang diperkenalkan MITI menyediakan panduan komprehensif, telus dan konsisten kepada pemain industri automotif.
“Sehubungan itu, PERODUA berpandangan usaha kerajaan menyeimbangkan kemajuan industri dengan keterbukaan pasaran wajar dipuji.
“Pendekatan ini dilihat mampu memastikan industri automotif Malaysia terus berkembang secara progresif dan berdaya saing pada masa hadapan,” katanya. – BH ONLINE




