MalaysiaPilihan Editor

KWSP: ‘Ahli Kena Tunggu Lebih Lama Buat Pengeluaran Akaun 2’

Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengeluarkan sepenuhnya simpanan Akaun 2 menerusi Pengeluaran Khas bermula semalam perlu menunggu lebih lama sebelum layak membuat pengeluaran untuk kegunaan lain seperti perumahan, pendidikan dan kesihatan.

Situasi sama turut membabitkan ahli yang terpaksa mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 bagi menampung jumlah dalam Akaun 2 yang tidak cukup RM10,000 atau menggunakan keseluruhan jumlah Pengeluaran Khas yang dibenarkan daripada Akaun 1.

Menurut KWSP, situasi itu disebabkan ahli perlu menggantikan semula semua jumlah yang dikeluarkan di bawah Pengeluaran Khas dengan tambahan sebanyak 20 peratus lagi.

Berdasarkan ilustrasi yang dikeluarkan KWSP, pencarum yang mengeluarkan RM10,000, perlu menggantikan sebanyak RM12,000.

Setelah penggantian semula selesai, caruman ahli akan kembali seperti biasa iaitu 70 peratus ke dalam Akaun 1 dan baki 30 peratus lagi ke dalam Akaun 2, seperti kelaziman.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang telah mengambil pengeluaran khas RM10,000 daripada Akaun 1, maka semua caruman bulanan akan dimasukkan ke Akaun 1.

“Caruman ini akan berhenti hanya selepas RM10,000 bersama tambahan 20 peratus iaitu RM2,000, kembali ke Akaun 1.

“Penggantian tambahan 20 peratus bukanlah kadar faedah yang dikenakan atau perlu dibayar oleh ahli,” kata KWSP.

Jika jumlah caruman KWSP bulanan ahli adalah RM500, penggantian semula yang akan masuk ke Akaun 1 adalah selama dua tahun (bagi menjadikan jumlah RM12,000), sebelum 30 peratus disalurkan semula ke Akaun 2.

Menurut KWSP, rasional bagi menggantikan semula jumlah yang telah dikeluarkan adalah untuk memastikan ahli mempunyai simpanan selepas persaraan.

“Tambahan 20 peratus yang ditetapkan adalah berdasarkan anggaran kehilangan/ kerugian dividen ke atas jumlah pengeluaran itu dengan purata lima peratus dividen tahunan bagi penggantian yang dijangka mengambil masa hingga empat tahun, tertakluk kepada jumlah caruman ahli dan konsistensi dalam mencarum.

“Ini bertujuan untuk memastikan simpanan dapat dibina semula dengan cepat dan memanfaatkan gandaan dividen, selain mengimbangi antara keperluan mendesak semasa dan simpanan masa hadapan,” katanya dalam soalan lazim yang diterbitkan di https://pengeluarankhas.kwsp.gov.my/faq.

Bagi menjawab soalan implikasi Pengeluaran Khas ini terhadap kelayakan untuk pengeluaran pra-persaraan yang lain, KWSP berkata, kelayakan bagi permohonan pengeluaran pra-persaraan yang lain seperti pengeluaran perumahan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya adalah tidak terjejas sekiranya ahli mempunyai baki simpanan dalam Akaun 2 selepas Pengeluaran Khas.

Untuk rekod, bayaran Pengeluaran Khas akan menggunakan sepenuhnya simpanan dalam Akaun 2 terlebih dahulu.

Sekiranya ia tidak mencukupi, simpanan dalam Akaun 1 akan digunakan.

Bagaimanapun, ahli perlu mengekalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam Akaun 1.

Pengeluaran Khas KWSP sebanyak RM10,000 diawalkan semalam daripada 20 April yang diumumkan sebelum ini dan telah mula dikreditkan secara berperingkat.

Permohonan Pengeluaran Khas mula dibuka pada 1 April lalu, manakala tarikh akhir permohonan adalah pada akhir bulan ini.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, membabitkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.

Tiga program pengeluaran khas KWSP itu adalah pengeluaran pra-persaraan yang diperkenal sebagai langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close