MalaysiaPilihan Editor

SPRM Siasat Perbelanjaan RM700 Juta Dua PM Untuk Promosi, Publisiti

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya sedang menyiasat proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022, yang menggunakan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan siasatan berkenaan, namun beliau tidak mengulas lanjut.

Sementara itu satu sumber berkata, semalam pasukan SPRM sudah ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai sebahagian proses siasatan.

Malah pihak SPRM juga sudah mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan hari ini.

“Siasatan ini dibuat berdasarkan maklumat awal yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November tahun lalu.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Persekutuan membelanjakan hingga RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Perbelanjaan berkenaan digunakan dua pentadbiran terdahulu dalam menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan.

Terdahulu, SPRM dilaporkan berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengenai perbelanjaan itu, malah akan memanggil bekas pemimpin tertinggi kerajaan berhubung siasatan itu.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan kepada BH beliau belum menerima sebarang panggilan daripada SPRM berhubung satu siasatan dijalankan agensi penguatkuasaan itu.

Sabtu lalu, BH melaporkan, polis menerima laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana RM700 juta oleh dua kerajaan terdahulu untuk iklan dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum itu menulis di catatan media sosial X, berhubung perbelanjaan itu dan berkata, rakyat berhak tahu bagaimana RM700 juta bagi iklan dan publisiti dibelanjakan oleh dua kerajaan terdahulu.

Dalam perkembangan itu, sumber berkata, siasatan ketika ini adalah berbentuk tindakan proaktif bagaimana pendedahan mengenai penggunaan wang RM700 juta itu.

“Siasatan awal masih berjalan dan ia menjurus kepada bagaimana wang itu dibelanjakan.

“SRPM juga sedang menyiasat adakah proses perbelanjaan dan pengurusan berkenaan mengikut tatacara yang betul,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close