Dimensi Bisnes

Ringgit Ditutup Rendah

Ringgit ditutup rendah hari ini susulan aktiviti pengambilan untung.

Ini disebabkan oleh ketidakpastian berhubung mesyuarat OPEC+ serta defisit perdagangan negara yang dicatatkan pada April.

Pada penutup, ringgit berada pada 4.2740/2810 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada paras penutup 4.2590/2660 pada Rabu.

Keraguan mengenai keupayaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya untuk mencapai persetujuan melanjutkan pengurangan pengeluaran telah mengehadkan kenaikan harga minyak.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata pasaran mata wang serantau tidak menentu selepas Presiden Donald Trump mengumumkan sekatan ke atas syarikat penerbangan China daripada memasuki AS sebagai tindak balas kepada larangan yang sama oleh kerajaan China ke atas syarikat penerbangan Amerika daripada memulakan semula perkhidmatan ke China.

“Selain itu, pasaran juga memasuki fasa pembetulan menjelang pengumuman Senarai Gaji Bukan Ladang AS pada Jumaat,” katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini mengumumkan defisit perdagangan Malaysia sebanyak RM3.5 bilion pada April 2020 selepas 269 bulan berturut-turut mencatatkan lebihan berikutan kemerosotan eksport berbanding import susulan impak daripada pandemik COVID-19.

Keseluruhannya, jumlah perdagangan pada April 2020 berjumlah RM133.34 bilion, turun 16.4 peratus berbanding April 2019, dengan perdagangan rendah dicatatkan terutamanya dengan Singapura, Thailand, India, AS, Jepun, Vietnam dan Arab Saudi.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0483/0544 daripada 3.0480/0537 pada Rabu, turun berbanding euro kepada 4.7865/7947 daripada 4.7769/7856 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.9225/92933 daripada 3.9149/9224.

Ringgit, bagaimanapun, tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3549/3645 daripada 5.3638/3743. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close