Dimensi Bisnes

BACALAH AUTO: Proton X70 2026 Tampil Lebih Seimbang, Nilai Pemilikan Dipertingkat

PROTON memperkenalkan Proton X70 2026, evolusi terbaharu bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C perdananya yang dibangunkan dengan memberi tumpuan kepada aspek paling penting sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

Dibina berasaskan platform global yang terbukti serta diperhalusi menerusi maklum balas pelanggan, Proton X70 baharu menampilkan penambahbaikan lebih tertumpu merangkumi prestasi, keselesaan dan kemudahan, selain kos pemilikan serta penjagaan yang lebih efisien.

Pendekatan itu sekali gus menjadikannya pilihan seimbang dan boleh dipercayai untuk keluarga Malaysia yang mementingkan keyakinan pemilikan jangka panjang.

Sempena pelancaran rasmi model berkenaan, PROTON turut menawarkan rebat istimewa berjumlah RM7,000 kepada 1,500 pembeli pertama Proton X70 2026.

Harga berkenaan adalah harga atas jalan tanpa insurans dan sah untuk Semenanjung Malaysia, sekali gus menjadikan Proton X70 2026 antara SUV segmen C paling kompetitif dari segi nilai ditawarkan dalam pasaran tempatan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Rashid Musa, berkata sejak diperkenalkan pada 2018, Proton X70 memainkan peranan penting dalam membentuk semula landskap pasaran SUV tempatan dan muncul sebagai antara model paling dikenali serta diterima meluas dalam segmennya.

Beliau berkata, sejak kemunculannya, Proton X70 mencatatkan jualan sebanyak 112,386 unit di Malaysia dan pasaran antarabangsa. Model itu berkongsi asas dengan platform Geely Boyue yang merekodkan jualan melebihi dua juta unit di peringkat global, dengan kejayaannya didorong oleh kebolehpercayaan, keselesaan serta nilai yang ditawarkan kepada pengguna.

Menurutnya, kemas kini bagi tahun 2026 mencerminkan falsafah penambahbaikan berterusan PROTON dengan tumpuan khusus untuk meningkatkan keseluruhan pengalaman pemilikan, selain menjadi SUV segmen C pertama yang ditawarkan pada harga bawah RM100,000, sekali gus menjadikan teknologi canggih lebih mudah diakses oleh pengguna.

“Sejak awal lagi, kejayaan ini menjadi titik perubahan dan bukti bahawa Proton mampu bersaing secara langsung dengan pemain utama dalam segmen ini, bukan sahaja dari segi harga, tetapi juga nilai yang ditawarkan.

“Kejayaan Proton X70 turut mencetuskan perjalanan kami dalam segmen SUV. Hari ini, kami menawarkan lima model SUV merangkumi segmen enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV), dengan lebih banyak model bakal diperkenalkan pada masa hadapan.

“Sasaran kami jelas, iaitu untuk kembali menjadi jenama SUV nombor satu di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran model berkenaan di sini, hari ini.

 

Majlis pelancaran Proton X70 2026 di Proton Centre of Excellence, Subang Jaya. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Majlis pelancaran Proton X70 2026 di Proton Centre of Excellence, Subang Jaya. – NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

 

Teras Proton X70 2026 ialah enjin i-GT 1.5TD empat silinder yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Gabungan ini menghasilkan kuasa 181PS dan tork 290Nm yang disalurkan secara lancar serta responsif, di samping penambahbaikan dari segi kehalusan pemanduan dan kecekapan bahan api.

Ia turut disokong talaan casis dan penentukuran suspensi yang dipertingkat selari dengan kepakaran PROTON dalam aspek pengendalian dan keselesaan, sekali gus menawarkan kestabilan serta keyakinan pemanduan di laluan bandar mahupun lebuh raya, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian keluarga dan perjalanan jarak jauh.

Secara keseluruhan, Proton X70 2026 dibangunkan berteraskan tiga teras utama iaitu keselesaan dan kemudahan, kos pemilikan yang lebih terkawal serta aspek penjagaan yang dipermudah, sejajar dengan keperluan keluarga praktikal yang menghargai nilai dan ketenangan minda sepanjang tempoh penggunaan kenderaan. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close