Yayasan Peneraju (YP) melengkapkan skim pembiayaannya dengan memperkenalkan pakej asas yang akan ditawarkan mulai esok, 9 Jan 2026, bagi mempercepat pembangunan kemahiran tambahan bumiputera dalam latihan kecerdasan buatan (AI).
Dalam satu kenyataan, agensi bank bakat di bawah Kementerian Ekonomi itu memaklumkan bahawa pakej asas berkenaan melengkapkan pakej sedia ada YP iaitu perak, emas dan platinum yang telah ditawarkan sejak Februari 2025.
“Pakej ini dirangka bagi mengurangkan halangan kemasukan bakat untuk memperoleh kemahiran tambahan dan kemahiran baharu. Pakej asas membolehkan pemohon yang layak memohon pembiayaan tanpa faedah sehingga RM5,000, dengan sifar yuran pentadbiran serta tiada bayaran balik sekiranya latihan berjaya diselesaikan.
“Pendekatan ini mendorong penyertaan yang lebih luas memandangkan keperluan kemahiran di tempat kerja terus berkembang,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani, berkata pakej berkenaan diperkenalkan dengan tumpuan kepada latihan AI dan merupakan pakej asas pertama YP yang menyokong usaha mempercepat penggunaan teknologi itu merentas industri.
“Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, jika diuruskan dengan baik, AI boleh memberikan manfaat yang lebih inklusif merentas sektor kesihatan, pendidikan, pertanian, perkhidmatan dan pembuatan.
“Bagi merealisasikan manfaat ini pada skala besar, kita perlu meluaskan akses kepada latihan gunaan yang membolehkan rakyat Malaysia menggunakan AI secara berkesan di tempat kerja. Melalui pakej asas ini, YP kini memudahkan lebih ramai bakat bumiputera untuk mula membina kemahiran AI sedia pekerjaan,” katanya.
YP turut menjelaskan bahawa di bawah pakej asas ini, pemohon boleh memilih daripada lebih 100 kursus latihan AI atas permintaan yang ditawarkan oleh 40 institusi pembelajaran dan latihan yang diluluskan (ALTI).
“Senarai ini akan terus berkembang sejajar dengan pengenalan lebih banyak latihan berkaitan AI dalam pasaran. Latihan ini berasaskan rangka kerja Indeks Kesediaan AI (AIRI) yang dibangunkan oleh AI Singapore, bagi membantu peserta mengenal pasti titik permulaan yang sesuai dan berkembang secara berperingkat.
“Kursus merangkumi pilihan pengenalan dan gunaan seperti asas ‘prompt’ AI dan asas AI generatif, selain laluan berkaitan peranan merentas reka bentuk, awan, pembangunan, data dan keselamatan,” menurut kenyataan itu.
Pakej asas ini dibuka kepada pemohon berumur 16 tahun ke atas termasuk lepasan sekolah, pelajar, siswazah, golongan bekerja serta individu bekerja sendiri atau menganggur. Latihan yang ditawarkan direka agar praktikal dan efisien dari segi masa, dengan tempoh sehingga enam bulan. – BERNAMA




