Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aeon Bank (M) Bhd, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz dilantik sebagai Pengarah Kepentingan Awam dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Bursa Malaysia Bhd berkuat kuasa 1 Julai 2024.
Bursa Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu dibuat oleh Menteri Kewangan menurut Seksyen 10(1)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Raja Teh Maimunah mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri perkhidmatan kewangan, meliputi pelaburan, borong, perbankan Islam dan digital.
Beliau juga kini berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan sebagai Pemegang Amanah Amanah Warisan Negara.
Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata pengalamannya dalam kewangan Islam dan perbankan digital akan memberi sumbangan besar kepada inovasi dan usaha pertumbuhan mereka sebagai pertukaran pelbagai aset untuk membina pasaran modal Malaysia yang kukuh, bertenaga dan inklusif. -BERNAMA