Ekonomi Islam & GlobalPilihan Editor

Dividen Tabung Haji 3.1 Peratus

Lembaga Tabung Haji (TH) mengagihkan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023, sama seperti kadar tahun kewangan sebelumnya.

Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.72 bilion, berbanding RM2.65 bilion tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH dan juga selepas mengambil kira pembayaran zakat sebanyak 2.57 peratus.

Katanya, pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula jam 12 tengah hari ini.

“Prestasi TH pada tahun 2023 didorong oleh pelaburan patuh syariah di dalam instrumen pendapatan tetap yang menjana 52 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 24 peratus disumbang oleh pelaburan ekuiti.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2023 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman.

Mengulas lanjut Mohd Na’im berkata, TH juga akan melunaskan zakat sebanyak RM101 juta kepada semua Majlis-majlis Agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit TH pada kadar 2.57 peratus untuk tahun 2023.

Katanya, TH berharap dengan pelunasan zakat ini, secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara.

“Dengan pelunasan zakat ini, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima. Sehingga kini TH telah melunaskan zakat berjumlah RM1.37 bilion bagi pihak pendeposit.

“TH telah menyantuni lebih 560,000 asnaf di seluruh negara pada tahun 2023 melalui Program Zakat Wakalah. TH menjadi wakil kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk mengedarkan sendiri sebahagian daripada dana zakat ini kepada asnaf.

“Secara keseluruhannya, lebih 1.6 juta asnaf termasuk golongan miskin tegar menerima manfaat dari Program Zakat Wakalah Tabung Haji,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close