Duniaku TeknokratGovernans

189 Dana Unit Amanah Layak Ditawarkan Kepada Pencarum – KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan 189 dana unit amanah mencapai kriteria kelayakan minimum dan layak ditawarkan kepada ahlinya di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) bagi tempoh 2024/2025, berkuat kuasa pada 1 April 2024.

Ia berkata, daripada dana yang layak itu, 151 dana atau 79.9 peratus adalah dana tempatan; 107 dana (56.6 peratus) adalah dana ekuiti dan 76 dana (40.2 peratus) adalah dana Shariah.

Pengumuman dana yang layak itu adalah berdasarkan penilaian tahunan yang dilaksanakan pada kedudukan setakat 31 Disember 2023

Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Mohammad Yusof, berkata KWSP akan terus menyediakan pilihan dan fleksibiliti kepada ahli yang layak untuk meneroka peluang pelaburan yang lebih luas melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik oleh pengurus dana persaraan itu.

“Senarai ini juga adalah termasuk dana unit amanah berasaskan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang berperanan dalam memacu agenda pelaburan mampan KWSP, di samping memperkasa ahli untuk membuat keputusan pelaburan yang termaklum melalui pelbagai dana yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dua kriteria kelayakan untuk penilaian dana termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana.

Ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria itu disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi disenaraikan.

Di bawah SPA KWSP, ahli diberi pilihan untuk melabur dengan IPD sehingga 30 peratus daripada lebihan jumlah simpanan di dalam Akaun 1 mereka.

Ia termasuk melabur dengan Syarikat Pengurusan Dana Amanah dan Syarikat Mandat Persendirian, bergantung kepada kelayakan berdasarkan Simpanan Asas.

Rohaya berkata, sejak pelancaran platform i-Invest pada 2019, sekitar RM2.5 bilion telah diurusniagakan sehingga Disember 2023.

Beliau berkata, KWSP menggalakkan lebih ramai ahli memanfaatkan kemudahan i-Invest berikutan penambahbaikan pada platform itu dibuat awal tahun ini yang membolehkan transaksi untuk portfolio mandat persendirian.

“Penambahbaikan ini membolehkan ahli untuk melakukan transaksi membabitkan portfolio mandat persendirian yang diluluskan, sebagai tambahan kepada dana unit amanah yang layak ditawarkan melalui platform i-Invest,” katanya.

Rohaya menambah bahawa portfolio mandat persendirian dan dana unit amanah di bawah SPA KWSP memberikan fleksibiliti kepada ahli untuk melabur melalui pengurus aset profesional berdasarkan objektif pelaburan individu, keutamaan dan toleransi risiko mereka.

Ahli boleh melakukan transaksi dengan mudah melalui i-Invest dengan caj jualan pendahuluan yang dibayar oleh ahli kepada IPD adalah dihadkan pada 0.5 peratus untuk setiap transaksi pembelian.

Ahli disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan mendapatkan maklumat yang tepat serta nasihat profesional sebelum membuat keputusan atau transaksi.

Ahli boleh rujuk kepada Khidmat Nasihat Ahli KWSP di mana-mana cawangan KWSP seluruh negara sebelum menyertai SPA KWSP.

Walaupun KWSP telah meluluskan dana-dana itu, ia bukan adalah cadangan atau pengesahan untuk ahli melabur ke dalam mana-mana dana tertentu.

Untuk senarai penuh untuk dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di https://www.kwsp.gov.my/member/savings/i-invest – BH ONLINE/BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close