Presiden Donald Trump dalam satu taklimat tindak balas ekonomi terhadap pandemik COVID-19 pada Rabu berkata, ekonomi negara Amerika Syarikat (AS) “jauh lebih baik berbanding Eropah”, lapor Agensi Berita Anadolu.
Merujuk kepada pelbagai grafik dan carta yang menjelaskan mengenai ekonomi AS, Trump membincangkan pemulihan pasaran saham, kebangkitan semula sektor pembinaan, permintaan automobil, “pertumbuhan” sektor pembuatan dan peningkatan pekerjaan. Beliau kemudian membandingkan data COVID-19 AS dengan Eropah.
“Walaupun ekonomi kita menunjukkan prestasi jauh lebih baik daripada Eropah, apa yang harus difahami oleh orang ramai, sebenarnya, prestasinya lebih baik daripada mana-mana pasaran pun di dunia. Pada masa sama, Eropah mencatatkan kematian 40 peratus lebih tinggi berbanding AS,” katanya dalam ucapan perasmiannya.
“Dan saya mengatakan bahawa itu adalah jumlah yang sangat signifikan.”
Trump mengadakan sidang media itu berikutan calon Demokrat Joe Biden dan Senator Kamala Harris membuat penampilan pertama sebagai rakan sepasukan di Delaware.
Biden dan Harris berulang kali mengecam cara Trump mengendalikan pandemik COVID-19 dan tindakannya yang tidak konsisten mengenai penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka serta mengkritik kemerosotan ekonomi yang timbul daripadanya.
Menurut Harris Trump “mewarisi pengembangan ekonomi terpanjang dalam sejarah berbanding Barack Obama dan Joe Biden, dan kemudian seakan semua perkara yang diwarisinya, Trump telah musnahkan.”
Dalam satu taklimat media pada Selasa, Trump berkata Harris bertindak “jahat” kepada Biden semasa sesi perbahasan Demokrat 2019.
Pada Rabu, Trump mengulangi beliau terkejut Biden memilih Harris kerana dia mengatakan “perkara teruk” tentangnya dan “mengejeknya secara terbuka,” memanggilnya “sangat lemah mengenai fakta.”
“Saya rasa itu mungkin salah satu sebab dia menjadi calon yang teruk dan terpaksa meninggalkan perlumbaan, kerana dia salah mengemukakan fakta. Anda tahu, dia sangat teruk mengenai fakta, dia sangat lemah pada fakta,” katanya. — BERNAMA