GovernansPilihan Editor

DEWAN RAKYAT: Bagaimana Kedudukan Pemilikan Ekuiti Bumiputera & Unit Khas Bumiputera – Tanya Ahli Parlimen Bagan Datuk

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Bagaimana kedudukan pemilikan ekuiti bumiputera di dalam syarikat-syarikat tersenarai, di dalam syarikat-syarikat tidak tersenarai dan bagaimana kedudukan agensi-agensi amanah bumiputera dan perusahaan-perusahaan awam?

Kedua, bagaimanakah kedudukan unit khas bumiputera di kementerian dan jabatan-jabatan? Apakah peranan mereka? Jika ia telah ditiadakan dalam kerajaan yang lalu, bagaimanakah tindakan yang akan dilakukan oleh kerajaan sekarang?

Soalan tambahan ini dibangkitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dituju kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjawab soalan pertanyaan asal bagi jawab lisan nombor 1 yang menyatakan langkah-langkah meningkatkan ekonomi Bumiputera khususnya yang semakin ramai menganggur dan hilang tanpa menyalahkan bangsa lain di Dewan Rakyat pada 13 Ogos 2020.

Muhyiddin menjelaskan dalam tempoh yang terkini, peratusan ekuiti bumiputera yang kita catatkan ialah lebih kurang 16 peratus sahaja.

“Yakni kalau dibandingkan dengan tempoh masa-masa yang lepas, semakin merosot. Satu yang agak membimbangkan. Oleh sebab itu, apa pun yang penting sekarang ini ialah bagaimana usaha yang hendak dibuat dan dilaksanakan oleh kerajaan sekarang.

“Komitmen kita ialah untuk berusaha lebih daripada dahulu. Oleh sebab itu, dalam ucapan yang telah pun saya jelaskan tadi, ada suatu inisiatif baharu, umpama Majlis Kemakmuran Bumiputera, di mana dalam majlis ini yang saya akan mempengerusikan di sini, akan kita teliti dan halusi.

“Sektor-sektor mana sebagai contoh yang agak masih bumiputera jauh di belakang. Katalah sektor pembangunan, pembuatan, sektor perbankan ataupun sektor pertanian.

“Jadi, bila ada data-data yang lengkap yang dapat kita kumpulkan menerusi unit TERAJU yang saya sebutkan tadi, maka, tindakan kita lebih berfokus. Jadi, sebab itulah bagaimana yang disebutkan tadi, inisiatif ini akan kita laksanakan dengan secara yang lebih gigih lagi. Insya-Allah,” katanya dalam Dewan Rakyat.

Terdahulu Perdana Menteri turut menjelaskan Kerajaan Perikatan Nasional komited untuk melaksanakan agenda bumiputera sebagai agenda nasional.

Walaupun banyak kejayaan yang telah dicapai dalam usaha meningkatkan taraf hidup bumiputera, kedudukan sosio ekonomi bumiputera masih perlu dilonjakkan.

Secara perbandingan, insiden kemiskinan bumiputera adalah sebanyak 7.2 peratus pada tahun 2019 berbanding kaum Cina sebanyak 1.4 peratus dan India sebanyak 4.8 peratus.

Pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat adalah sebanyak 16.2 peratus pada tahun 2015 berbanding bukan bumiputera sebanyak 30.7 peratus dan pegangan asing sebanyak 45.3 peratus.

Kadar pengangguran bumiputera adalah sebanyak 3.7 peratus pada tahun 2019, berbanding purata nasional sebanyak 3.3 peratus.

Bagi suku kedua tahun 2020, kadar pengangguran bumiputera adalah sebanyak 5.2 peratus, berbanding purata nasional sebanyak 5.1 peratus.

Mengambil kira keadaan ini, kerajaan telah mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera sebagai platform tertinggi untuk memperkasa pembangunan sosioekonomi bumiputera.

“Saya sendiri akan mempengerusikan majlis ini yang akan memandu dan mempercepatkan pemerkasaan ekonomi bumiputera.

“Saya juga telah memutuskan supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menjadi agensi penyelaras utama pembangunan sosioekonomi bumiputera. TERAJU akan menjadi penyelaras tunggal bagi pangkalan data bumiputera merentas kementerian, agensi dan GLC, kata Perdana Menteri.

Bumiputera akan diberikan lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan di pelbagai peringkat untuk menjadikan bumiputera sebagai bangsa usahawan.

Budaya keusahawanan ini akan terus dipupuk secara bersepadu melalui peranan pelbagai agensi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan TEKUN Nasional serta agensi agensi mandat bumiputera.

Selain itu, lonjakan berganda dalam pendidikan dan modal insan akan terus diperhebat, khususnya dalam kalangan keluarga B40 dan M40 bumiputera.

Pemberian biasiswa, program pemupukan dan pembangunan serta bimbingan kepada modal insan bumiputera akan diperluaskan kepada semua peringkat.

Beberapa kaedah lain seperti, dengan izin, Dasar Carve Out and Compete KPI atau Sasaran Pencapaian Bumiputera bagi setiap kementerian, jabatan, agensi dan GLC seta perolehan ekuiti dan aset strategik akan dimantapkan. Kerajaan komited untuk menjayakan agenda bumiputera bagi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentangkan pada awal tahun hadapan.

“Insya-Allah, saya akan berkeyakinan sekiranya semua pihak menumpukan sepenuh usaha untuk menjayakan semua perancangan yang telah saya sebutkan tadi, kita akan mampu melonjakkan taraf sosioekonomi bumiputera tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum-kaum lain untuk menikmati kemakmuran negara kita secara bersama, kata Muhyiddin. – BACALAHMALAYSIA.MY/HANSARD PARLIMEN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close