MalaysiaPilihan Editor

Kedudukan Ahmad Zahid, Mohamad Hasan Tidak Akan Dicabar

 Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak akan dicabar pada pemilihan parti selepas Perhimpunan Agung UMNO hari ini, meluluskan usul tambahan supaya kedua-dua jawatan terbabit tidak dipertandingkan.

Usul tambahan itu dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin semalam dan diluluskan melalui undian suara hari ini, sebelum sesi penggulung perbahasan dimulakan.

Kelulusan pengundian usul itu yang dilakukan secara tertutup di Dewan Merdeka diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin selaras Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

“Alhamdulillah, usul tambahan ini diluluskan, Allah maha kaya kerana mendengar permintaan kita,” katanya sebelum disusuli laungan Allahuakbar sebanyak tiga kali yang kemudian disahut perwakilan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, melalui satu muat naik di Facebook turut mengesahkan mengenai kelulusan undi tambahan itu.

“Yang tidak sokong pun diminta berdiri dan mengangkat tangan, tapi bilangannya sangat sedikit,” katanya turut mencatatkan pengundian itu berlangsung pada jam 4.52 petang.

Dalam pada itu, sekumpulan perwakilan dipercayai kelompok yang mahukan dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan dilihat segera meninggalkan Dewan Merdeka sejurus pengundian selesai, dengan masing-masing kedengaran menzahirkan rungutan atas keputusan dibuat di Dewan Merdeka.

Beberapa perwakilan yang ditemui di luar Dewan Merdeka menyatakan rasa kecewa dengan keputusan itu yang disifatkan bakal memberi gambaran negatif kepada parti yang dilihat tidak demokratik.

“Percayalah jika ada pengundian pada pemilihan dua jawatan ini, sudah pasti presiden menang… kenapa nak takut dengan tak buat pengundian, kita hendak bersihkan parti.

“Kita tetap sokong (apa juga keputusan PAU 2022), cuma cara itu tidak betul… kita rasa tiada masalah kalau ada pengundian untuk dua jawatan,” kata perwakilan dari Johor yang enggan namanya disiarkan.

Seorang perwakilan daripada Kelantan yang ditemui juga menyifatkan keputusan itu mengecewakan dan menyukarkan UMNO dalam usaha memulih dan meremajakan parti.

“Sia-sia saja kita bercakap mengenai usaha meremajakan parti jika tiada pertandingan dua jawatan tertinggi ini,” katanya.

Kelmarin, Dewan Merdeka turut dilapor gamat selepas perwakilan Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

IMAGE

Perwakilan UMNO pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Perwakilan UMNO pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. NSTP/HAZREEN MOHAMAD

 

Terdahulu ketika sesi perbahasan usul ucapan dasar Presiden UMNO, reaksi berbelah bahagi turut dizahirkan perwakilan negeri mengenai usul tambahan itu.

Usul tambahan dicadangkan perwakilan Negeri Sembilan berkaitan dua jawatan tertinggi parti itu adalah tambahan kepada tujuh usul yang dibawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT), namun Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata usul berkenaan tidak membabitkan sebarang pindaan Perlembagaan parti dan hanya membabitkan persetujuan dalam dewan.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, yang mewakili UMNO Wilayah Persekutuan senada dengan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang mewakili Johor, apabila menegaskan usul tambahan dikemukakan itu bertentangan dengan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

Kedua-dua mereka beranggapan usul berkenaan tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan.

Empat lagi pembahas yang menyokong usul berkenaan adalah Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abdul Rahman Bakri (Selangor); pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz (Perak); Ketua Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Osman (Kelantan) dan wakil mahasiswa, Mohamad Syarul Amin Ismail.

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close