Dimensi BisnesPilihan Editor

Grab Malaysia Cipta Akses Pendapatan Seimbang Melalui Ekonomi Digital

Grab Malaysia dalam usahanya menangani pengangguran, berhasrat untuk mewujudkan akses pendapatan yang sama rata di samping menggalakkan peluang upah tambahan melalui ekonomi digital.

Pengarah Urusan Sean Goh berkata sebagai pemboleh teknologi tempatan dan penyokong ekonomi digital, inisiatif itu bertujuan mencipta peluang pendapatan baharu dengan rakan kongsi awam serta swasta bagi meningkatkan mata pencarian rakyat di tengah-tengah pandemik COVID-19.

“Kami percaya penyelesaian utama adalah dengan memudahkan akses dan mengurangkan halangan kepada peluang pendapatan ini.

“Grab Malaysia merancang menjalinkan kerjasama yang lebih lancar dengan kerajaan dan pihak lain yang berkaitan untuk membolehkan rakyat Malaysia mengakses pendapatan yang lebih fleksibel dan tambahan melalui Majlis Pekerjaan Negara (NEC),” katanya kepada Bernama hari ini.

Lebih banyak tumpuan akan diberikan kepada mereka yang mencari cara alternatif bagi memperoleh pendapatan, terutama orang kurang upaya, pesara dan ibu bapa tunggal dengan sokongan kerajaan termasuk rakan industri lain.

Beliau menyatakan syarikat itu baru-baru ini memperbaharui program GrabBenefits dengan memasukkan inisiatif bagi meningkatkan daya tahan kewangan lebih daripada 120,000 pemandu dan rakan kongsi penghantaran.

GrabBenefits adalah program manfaat pertama seumpamanya untuk ekonomi gig Malaysia yang bertujuan menjamin mata pencarian dan kebajikan pemandu serta rakan kongsi penghantaran Grab.

Di samping itu, syarikat telah meraih jualan lebih RM130 juta untuk membantu perniagaan kekal berkembang melalui inisiatif Shop Malaysia Online, pemacu e-dagang yang diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara serta inisiatif lain di bawah program ePENJANA.

“Hari ini, kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif NEC kerajaan, bekerjasama dengan rakan swasta bagi menambah baik kehidupan di tengah-tengah pandemik yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Sean.

Selasa lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat NEC maya bersama wakil sektor korporat, pendidikan dan pemain industri untuk bekerjasama dalam menangani kenaikan kadar pengangguran menerusi inisiatif di bawah Belanjawan 2021.

Sean berkata usaha berterusan akan diambil bagi mewujudkan kesedaran dan keterlihatan untuk usahawan tempatan termasuk melengkapkan mereka dengan alat bagi berkembang maju dalam ekonomi digital.

Tambah beliau lagi, Grab Malaysia komited untuk berusaha keras bersama kerajaan, komuniti dan rakan industri lain bagi mewujudkan lebih banyak peluang sama rata dalam industri perkhidmatan. — BERNAMA/PIC AFP

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close