Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengukuhkan penjenamaan di mata dunia, apabila buat julung kalinya berjaya melepasi tangga 200 universiti terbaik di dunia menerusi keputusan kedudukan terkini oleh Quacquarelly Symonds (QS) World University Rankings 2021.
Pro-Naib Canselor (Antarabangsa) UTM, Prof Madya Dr Mohd Ismid Md Said, berkata bagi edisi 2021, universiti terbabit menunjukkan peningkatan memberangsangkan sebanyak 30 kedudukan ke tangga ke-187 dari 217 tahun lalu, iaitu lonjakan tertinggi dalam kalangan universiti penyelidikan di negara ini.
“UTM kini berada dalam kelompok 16 peratus universiti terbaik di dunia dengan indikator terbaik Citation per Faculty, (petikan per fakulti) dengan UTM berada pada kedudukan nombor dua di Malaysia.
“UTM juga menunjukkan pencapaian membanggakan dalam QS Subject Ranking yang subjek Petroleum Engineering (Kejuruteraan Petroleum) mencapai kedudukan #35 di dunia.
“Kejayaan ini membuktikan universiti ini berada pada landasan tepat bagi melahirkan pakar bertaraf global dalam bidang itu selaras dengan pelan UTM Envisioning 2025,” kata dalam kenyataan hari ini.
Mohd Ismid berkata, pencapaian itu hasil pelaksanaan perancangan strategik UTM merangkumi pelbagai aspek akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan dan pentadbiran. – BERITA HARIAN